Dragon Age: The Veilguard Menerima Video Tatamain

BioWare minggu ini telah berkongsi video tatamain untuk Dragon Age: The Veilguard yang memperlihatkan 20 minit bahagian awal bagi permainan ini. Ia antaranya memperlihatkan watak yang dikenali ramai seperti Varric dan Solas.

Bagi sesi tatamain ini, pemain menggunakan watak rekaan sendiri yang dinamakan sebagai Rook menggunakan kelas Rogue, sebahagian daripada Shadow Dragons dan di tahap 1. Beliau mengembara bersama dengan Varric di dalam usaha untuk menghentikan Solas daripada membuka The Veil. Mereka kemudiannya disertai oleh Harding dan Neve iaitu 2 daripada 8 companion termasuk Varric yang boleh menemani pemain di dalam The Veilguard.

Bagi pertempuran pula, tampaknya pemain dapat mengawal watak yang dihasilkan sendiri buat masa ini tidak disahkan lagi jika pemain dapat menukar watak yang dikawal semasa pertempuran seperti Dragon Age: Inquisition sebelum ini, tetapi masih boleh menggunakan ability wheel untuk membuatkan companion melakukan serangan tertentu (tidak diperlihatkan di dalam video di atas).

Video tatamain yang masih di peringkat awal juga meletakkan pemain masih di tahap 1 yang membuatkan hanya ada satu kemahiran sahaja yang diperlihatkan, ia bagi saya sedikit mengecewakan terutama untuk satu video tatamain. Namun, anda boleh lihat daripada tangkapan skrin di atas yang memperlihatkan dengan lebih jelas kemahiran yang digunakan.

Selain itu, ia juga memperlihatkan pilihan dialog yang sentiasa menjadi bahagian penting untuk siri permainan ini. Ia masih mengekalkan pilihan dialog mengikut ‘sifat peribadi’ dan sesetengah pilihan juga akan memberi kesan kepada perhubungan dengan watak-watak lain.

Dragon Age: The Veilguard akan dilancarkan pada akhir tahun ini untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.

Sohor Kini