Team Perfect Dark yang terdiri daripada pembangun The Initiative dan Crystal Dynamics ketika acara Xbox Games Showcase telah berkongsi treler tatamain untuk Perfect Dark, namun buat masa ini masih tiada tarikh pelancaran yang diumumkan.

Perfect Dark merupakan permulaan semula untuk siri permainan ini yang sebelum ini dibangunkan oleh Rare, ia mempunyai dua permainan iaitu Perfect Dark yang dilancarkan pada tahun 2000 untuk Nintendo 64 dan Perfect Dark Zero yang dilancarkan pada tahun 2005 untuk Xbox 360.

Projek ini pertama kali diumumkan pada tahun 2020 akan tetapi tidak banyak perkongsian lanjut yang dilakukan selepas pengumuman tersebut sehinggalah sekarang. Selain berkongsi treler tatamain, mereka juga berkongsi informasi lanjut mengenai permainan ini di Xbox Wire.

Antara yang dikongsi adalah Perfect Dark merupakan permainan aksi FPS yang memberikan kebebasan kepada pemain untuk melakukan sesuatu misi dengan cara tersendiri, sama ada menyelinap ataupun secara berdepan, menggunakan senjata ataupun tidak. Kebebasan ini menjadi perkara yang diutamakan di dalam permainan ini.

Bagi penceritaan pula, pemain akan menjadi Joanna iaitu seorang agen untuk dataDyne di dunia pada masa depan yang terkesan dengan “The Cascade”. Ia membuatkan sebahagian besar bumi tidak boleh didiami. Pelbagai syarikat mula membentuk bandar mereka sendiri akan tetapi mempunyai motif yang tersendiri.

Sohor Kini