Burhanuddin Md Radzi iaitu pengasas untuk Les’ Copaque Production telah berkongsi beberapa penulisan di Facebook untuk memperlihatkan perkembangan terbaru mengenai permainan Upin & Ipin.
Projek ini diumumkan pada bulan Februari lepas yang mengatakan ia menelan perbelanjaan sebanyak RM15 juta.
Sebelum ini diumumkan yang permainan ini dibangunkan oleh syarikat antarabangsa yang mempunyai cawangan di Malaysia, melalui perkongsian terbaru ini telah disahkan yang studio tersebut adalah Streamline Studios.
Maklumat lain yang dikongsi oleh beliau adalah permainan ini dibangunkan untuk PlayStation 4 dengan ia dijangka siap pada bulan Oktober tahun ini. Manakala bagi pelancaran pula, mereka menyasarkan ia untuk tiba pada suku pertama tahun depan.
Anda juga boleh tonton beberapa video tatamain yang dikongsi oleh beliau di Facebook yang memperlihatkan selain dapat mengawal Upin dan Ipin, pemain juga boleh melakukan aktiviti sampingan termasuk juga bermain kereta kawalan jauh dan menangkap serangga.