Ulasan Rabbids: Legends of the Multiverse

Rabbids: Legends of the Multiverse merupakan permainan mudah alih oleh Ubisoft yang dilancarkan secara eksklusif di Apple Arcade. Ia merupakan permainan aksi dengan memfokuskan kepada elemen pembentukan dek kad. Kad-kad ini adalah berdasarkan watak-watak berbeza Rabbids yang mempunyai kekuatan serta kebolehan tersendiri, selain itu terdapat juga kad spell yang mempunyai kuasa dengan pelbagai kegunaan.

Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi seekor Rabbid yang ditugaskan untuk mengambil gambar rabbid-rabbid berbeza dari dunia-dunia yang berlainan. Melalui kamera yang membolehkan pemain untuk menggunakan gambar tersebut untuk menjelmakan rabbid ataupun spell yang berkait. Pemain akan bergerak secara automatik, dan perlu mengawal kad ataupun gambar yang ingin digunakan berdasarkan ‘energy‘ yang ada.

Bagi kad Rabbid, ia akan melakukan serangan secara automatik, selain itu ia juga mempunyai kuasa tambahan yang digelar sebagai Charged, ia boleh dilihat melalui bulatan kuning di kaki, jika bulatan penuh, saya perlu tap Rabbid tersebut untuk menggunakan kuasannya. Bagi saya, sesi pertempuran ini adalah menarik, ini ditambah lagi dengan kad-kad yang akan keluar adalah secara rawak, menjadikan sesi permainan mempunyai gabungan di antara strategi dan tindak balas.

Di dalam satu dek, boleh disertakan 12 kad yang berbeza, dan saya boleh membentuk dek sendiri menggunakan kad-kad yang ada, ia tidak mempunyai konsep pendua oleh itu, setiap 12 kad, merupakan 12 kad yang berbeza. Kepelbagaian kad adalah mencukupi, dan saya boleh membina dek dengan pelbagai tema yang berbeza seperti memfokuskan bertahan dan serangan jarak jauh, ataupun memfokuskan kepada serangan secara kuat dengan kad-kad yang boleh diturunkan dengan jumlah yang banyak.

Kad-kad di dalam permainan ini boleh didapatkan dengan bermain ataupun dengan membeli secara terus daripada Store, dan juga membuka pek. Dengan permainan ini dilancarkan untuk Apple Arcade, tiada pembelian di dalam permainan yang disertakan, sebaliknya setiap currency yang digunakan boleh didapatkan dengan bermain, termasuk juga untuk membeli pek. Terdapat juga pek percuma yang boleh dibuka dari semasa ke semasa.

Ada kemungkinan untuk mendapatkan kad yang sama, akan tetapi ia masih berguna kerana jika ingin meningkatkan tahap sesuatu kad, ia akan memerlukan sejumlah kad yang sama. Meningkatkan tahap juga akan memerlukan barangan berlainan yang juga boleh didapatkan dengan bermain dan juga disertakan bersama di dalam pek.

Selepas membentuk dek, meningkatkan tahap, saya kemudian boleh menggunakannya untuk bermain kempen yang mempunyai 5 kawasan berbeza dengan setiap satu mempunyai belasan peringkat. Menyelesaikan setiap peringkat ini juga akan mendapat kad baharu, dan setiap menyelesaikannya buat pertama kali, saya juga boleh bermain semula untuk menyelesaikan tiga objektif berlainan yang akan mempunyai ganjaran tersendiri. Namun, saya boleh katakan yang kempen terasa agak mudah untuk diselesaikan, saya berharap ia menyertakan tahap kesukaran, terutama apabila kad sudah ditingkatkan tahap.

Selain itu, terdapat juga PvP untuk bermain dengan pemain yang lain secara rawak dan mengumpul markah. Markah akan menentukan kedudukan arena, dengan setiap arena akan mempunyai ganjaran berlainan yang akan diperoleh apabila tamat musim yang berlangsung selama 25 hari. Semasa saya mencuba mod ini, kebiasaannya akan bertemu dengan bot, oleh itu saya masih tidak dapat menguji sepenuhnya bermain dengan pemain lain. Ia juga menyokong fungsi untuk melawan dengan rakan dan pemain lain secara kasual.

Selain dimainkan di iPhone, permainan ini juga boleh dimainkan di Mac dan Apple TV, dengan kawalan untuk permainan ini ringkas sahaja, permainan ini boleh dimainkan dengan baik di kesemua platform ia tiba. Grafik juga kelihatan baik, tidak kira semasa bermain di monitor ultra-lebar, ataupun dimainkan di TV dan sudah semestinya di paparan iPhone.

Akhir kata, Rabbids: Legends of the Multiverse adalah satu permainan kad yang menarik, ini ditambah lagi dengan kepelbagaian watak rabbid yang ada, dengan rekaan yang pelbagai. Elemen permainan kad adalah cukup menyeronokkan, kandungan juga boleh sangat mencukupi untuk memberi peluang kepada saya mencuba pelbagai dek berbeza. Mod PvP adalah baik untuk disertakan, tetapi sekurang-kurangnya pada waktu awal ini, masih tidak ramai yang bermain menyukarkan untuk saya mencari pemain lain.

Rabbids: Legends of the Multiverse boleh melalui Apple Arcade.

Ulasan Rabbids: Legends of the Multiverse
Rabbids: Legends of the Multiverse adalah satu permainan kad yang menarik terutama dengan kepelbagaian watak rabbid yang dijadikan sebagai kad dengan pelbagai kuasa berbeza. Permainan ini juga menyertakan kandungan mencukupi melalui kempen dan PvP.
Positif
Kad-kad dengan kuasa dan rekaan menarik
Kandungan permulaan yang mencukupi
Tiada pembelian di dalam permainan
Negatif
Kempen yang mudah
PvP masih kurang meriah
8

Sohor Kini