Sebelum ini dilaporkan yang filem Sheriff: Narko Integriti ditamatkan tayangannya lebih awal di Indonesia kerana kurang mendapat sambutan. Perkara ini telah dikatakan berpunca daripada beberapa sebab seperti kurangnya promosi dan ada juga mengatakan yang penonton di Indonesia kurang menyokong filem-filem dari luar negara.

Melalui penulisan di X, Syafiq Yusof iaitu pengarah untuk Sheriff mengatakan yang sentimen penonton di Indonesia tidak menyokong filem buatan Malaysia yang mengakibatkan Sheriff tidak mendapat sambutan adalah tidak benar.

“Sentimen yg mengatakan filem Sheriff tidak laku di Indonesia kerana mereka tidak sokong filem Malaysia adalah 100 peratus tidak benar! Kegagalan filem Sheriff di Indonesia adalah kegagalan saya sendiri. Tidak harus persalahkan sesiapa.”, penulisan di X oleh Syafiq Yusof.

Beliau juga mengatakan yang rakyat Indonesia berhak untuk memilih filem yang ingin ditonton, dan mengakui filem Sheriff masih jauh ketinggalan jika ingin dibandingkan dengan filem-filem aksi dari Indonesia.

Manakala pengarah terkenal, bapa Syafiq Yusof dan juga penerbit bagi filem Sheriff iaitu Yusof Haslam sebaliknya mengatakan yang filem ini tidak mempunyai promosi dan juga diberikan masa yang pendek sebelum tayangan. Namun, beliau menegaskan yang ia bukan sesuatu yang kejayaan di negara sendiri adalah lebih penting berbanding sambutan di negara luar.

Filem Sheriff juga akan ditayangkan di Hong Kong dengan Syafiq Yusof juga baru berkongsi yang tayangan perdana untuknya di negara tersebut baru sahaja dilakukan.

Di Malaysia, Sheriff sudah mengutip RM64 juta menjadi filem dengan kutipan tertinggi untuk tahun ini.

Sohor Kini