Ikea telah mengumumkan yang pada 24 Jun 2024 mereka akan melancarkan ‘The Co-Worker Game’ di dalam Roblox. Permainan ini dikatakan ingin memberi pengalaman menjadi pekerja Ikea secara maya. Menariknya, terdapat juga jawatan yang akan dibayar gaji mengikut kadar biasa bagi pekerja Ikea di London iaitu £13.15 (~RM80) sejam.

Mereka yang berminat untuk mendapat jawatan ini boleh mula melakukan permohonan bermula sekarang sehingga 16 Jun 2024 dengan terdapat 10 jawatan untuk diperoleh, namun ia hanya terbuka kepada yang menetap di UK sahaja, walaupun pekerjaan ini sepenuhnya secara maya. Pemohon yang terpilih berpeluang untuk memperlihatkan kemahiran mereka, bahkan boleh naik pangkat atau ke bahagian lain seperti satu pekerjaan yang sebenar.

Selain jawatan yang berbayar ini, komuniti Roblox juga boleh mengalami sendiri mengunjungi Ikea secara maya. Mereka boleh dapatkan bebola daging dan juga menggunakan pelbagai perabot untuk menghias sesuatu ruangan. Ikea di dalam Roblox ini dibangunkan oleh The Gang iaitu studio permainan video di Sweden.

Sohor Kini