Ulasan The Acolyte

The Acolyte merupakan satu siri Star Wars baharu yang akan tiba di Disney+ Hotstar, ia merupakan satu siri yang menarik, penuh misteri dengan pelbagai perkara mengenai dunia serta lore Star Wars disampaikan dengan baik. Siri ini dihasilkan oleh Lesley Headland yang juga memegang tanggungjawab sebagai showrunner. Pengarah-pengarah yang terlibat ialah Leslye Headland sendiri, Kogonada, Alex Garcia Lopez, dan Hanelle Culpepper.

Kisah di dalam siri ini berlaku 100 tahun sebelum kejadian Star Wars: Episode I – The Phantom Menace dan di pengakhiran era High Republic. Siri ini memfokuskan kepada Jedi menyiasat mengenai pembunuhan beberapa orang Jedi dan juga terdapat sekumpulan yang belajar mengenai Force di luar seliaan Jedi. Misteri ini juga berkait dengan Osha dan Mae iaitu kembar dengan salah seorang daripada mereka pernah menjadi seorang Padawan.

©2024 Lucasfilm Ltd. & TM. Hak Cipta Terpelihara.

Kekuatan siri ini adalah melalui misterinya yang disampaikan dengan baik, dengan setiap episod merungkai satu misteri dan pada masa yang sama membuka mister yang berlainan menjadikan setiap daripadanya tidak membosankan. Selain itu, elemen-elemen dunia Star Wars juga disampaikan dengan menariknya, perkara yang saya pernah ketahui dan juga perkara yang pertama kali saya mengetahuinya yang juga mungkin pertama kali diperlihatkan – ini termasuklah kumpulan tertentu, planet dan juga flora serta fauna.

Misteri bukan sahaja mengenai pembunuhan jedi, tetapi juga mengenai satu watak misteri yang bagaikan mengatur segala perkara yang terjadi. Perwatakan watak misteri tersebut mungkin boleh dijangka, namun siri ini masih melakukan satu kerja yang baik bagi menjadikan watak jahat yang penuh rahsia. Pertempuran, perlawanan lightsaber dan penggunaan Force juga sangat mengujakan, memberi banyak adegan yang akan disukai oleh peminat-peminat Star Wars.

©2024 Lucasfilm Ltd. & TM. Hak Cipta Terpelihara.

Amandla Stenberg juga membawa watak Osha dan Mae dengan sangat baik sekali, walaupun dilakonkan oleh seorang pelakon, tetapi siri ini melakukan dengan baik agar ia tidak kelihatan janggal. Amandla juga memainkan perwatakan berbeza dengan jayanya kerana Osha dan Mae mempunyai personaliti sangat berlainan, cuma mungkin penulisan boleh dilakukan dengan lebih baik untuk mengembangkan watak dengan lebih berkesan. Selain daripada itu, Lee Jung-jae yang membawa watak seorang jedi iaitu Sol juga membawa keunikan di dalam watak jedi baharu ini, tetapi kurang memberi impak secara keseluruhannya. Watak-watak lain juga dilakukan dengan baik, cuma ada beberapa watak yang tidak diberi peluang untuk dikembangkan lagi.

Bagi perkara utama yang membuatkan saya menyukai siri ini adalah perhubungan Osha dan Mae yang secara sendirinya juga mempunyai misteri tersendiri, walaupun terdapat episod imbas kembali pada awal siri ini, ia bukan dilakukan sebagai penjelasan. Sebaliknya, ia membuatkan saya lebih tertanya-tanya mengenai apa yang sebenar berlaku yang memulakan segala perkara yang berlaku pada waktu sekarang. Saya boleh katakan sudah terdapat beberapa siri berdasarkan Star Wars yang terasa tidak mempunyai penceritaan yang jelas ataupun menarik, namun ia bukan masalah untuk The Acolyte, ia membawa satu penceritaan yang menarik dengan tarikan tersendiri. Mungkin kerana tidak membawa bebanan kisah asal Star Wars.

©2024 Lucasfilm Ltd. & TM. Hak Cipta Terpelihara.

Akhir kata, The Acolyte satu siri yang membawa penceritaan yang cukup menarik untuk pengikut ataupun yang tidak mengikuti kisah Star Wars, kepelbagaian misteri yang hadir menjadi pendorong utama untuk penceritaan ini ditambah lagi dengan penyampaian yang baik, lakonan berkualiti dan juga adegan-adegan yang menarik. Ia satu penambahan kisah yang baik untuk keseluruhan kisah Star Wars, dan walaupun ia tidak membawa kesan yang besar secara keseluruhannya akan tetapi masih satu tontonan yang segar dan berbaloi untuk diluangkan masa menontonnya.

The Acolyte akan mula disiarkan di Disney+ Hotstar pada 4 Jun 2024.

The Acolyte satu siri yang membawa penceritaan yang cukup menarik untuk pengikut ataupun yang tidak mengikuti kisah Star Wars, kepelbagaian misteri yang hadir menjadi pendorong utama untuk penceritaan ini ditambah lagi dengan penyampaian yang berkualiti.
Positif
Penceritaan penuh misteri
Lakonan yang baik
Pelbagai adegan yang seronok untuk peminat Star Wars
Negatif
Sesetengah misteri mudah untuk dijangka
Ada watak yang tidak dikembangkan ataupun tidak sempat
7

Sohor Kini