ByteDance Batal Niat Untuk Jual Moonton, Lantik CEO Baharu

Pada akhir tahun lepas, telah dilaporkan yang ByteDance ingin keluar daripada perniagaan permainan video dengan menutup Nuverse dan juga menjual Moonton iaitu pembangun untuk Mobile Legends: Bang Bang.

Melalui laporan terbaru oleh SCMP, ByteDance tidak lagi ingin menjual Moonton sebaliknya akan melakukan perubahan strategi di dalam pengurusan anak syarikat mereka.

Sebahagian daripada perubahan strategi tersebut, mereka telah melantik CEO baharu untuk Moonton iaitu Zhang Yunfan yang menyertai ByteDance pada bulan April lepas. Beliau sebelum ini merupakan eksekutif untuk Perfect World iaitu penerbit Dota2 di China.

Buat masa ini masih tidak disahkan lagi mengenai kedudukan Justin Yuan Jing iaitu pengasas bersama Moonton dan bekas CEO. Semasa laporan mengenai Moonton akan dijual, beliau mengatakan Moonton akan terus kekal sebagai studio persendirian yang dikatakan langkah untuk menaikkan moral pekerja.

Moonton ditubuhkan pada tahun 2015 dengan permainan Magic Rush: Heroes tetapi lebih terkenal dengan permainan Mobile Legends: Bang Bang yang terus menjadi permainan MOBA untuk peranti pintar paling popular di Asia Tenggara.

ByteDance mengambil alih Moonton pada tahun 2021 dengan bayaran $4 bilion.

Sohor Kini