The Experts merupakan filem arahan Andrew Chiew dan Nazim Shah mengenai lima adik beradik iaitu Along (Aaron Aziz), Keyrol (Syafiq Kyle), Amir (Remy Ishak), Emma (Mimi Lana) dan Angah (Shah Reza Mohd Shah) yang mempunyai kemahiran di dalam melakukan rompakan ataupun heist, selepas berjaya untuk melakukan rompakan emas bernilai ratusan juta tetapi Keyrol memasuki penjara mereka bersara daripada melakukan perkara tersebut.
Namun, perkara ini berubah apabila Keyrol yang keluar daripada penjara 10 tahun kemudian dan mencadangkan untuk melakukan satu rompakan baharu, tetapi tidak dipersetujui yang membuatkan Keyrol melakukannya secara bersendirian tetapi mula menyedari yang rompakan tersebut adalah satu perangkap untuk memaksa Keyrol dan adik beradiknya yang lain melakukan satu rompakan untuk mencuri cincin daripada satu kumpulan kongsi gelap.
Filem ini kemudiannya memfokuskan perancangan dan melakukan rompakan tersebut yang mempunyai pelbagai perkara yang tidak dijangkakan, tambahan pada itu penceritaan juga memfokuskan kepada perhubungan di antara Along dan Keyrol dengan Keyrol menyalahkan Along dia dipenjarakan. Secara keseluruhannya, ia adalah satu penceritaan yang baik dengan terdapat beberapa plot twist yang menarik, drama ataupun kisah perhubungan adik beradik terutama Keyrol dan Along juga dilakukan dengan baik.
Perkara yang mengecewakan bagi saya adalah adegan-adegan rompakan itu tersendiri, ia dilakukan dengan kurang menarik, melakukan banyak perkara yang sudah dilakukan di dalam filem heist yang lain, ada beberapa perkara juga tidak masuk akal ataupun bercanggah dengan fakta yang dinyatakan sebelum ini. Namun, seperti kebanyakan filem lain apabila sesuatu bahagian itu gagal, ia sering dibantu oleh komedi, begitu juga dengan filem ini. Bahagian rompakan terasa kurang menarik tetapi dengan disertakan elemen komedi yang baik masih menjadikannya seronok untuk ditonton.
Selain daripada itu, saya juga terasa ada beberapa suntingan yang terasa janggal, contohnya ada satu adegan mereka memperlihatkan kereta yang akan digunakan semasa rompakan ini, akan tetapi adegan itu terasa sangat kaku melibatkan tiga watak yang dialognya yang tidak ditulis untuk bercakap dengan satu sama lain. Adegan ini dan beberapa lain menjadikan sesetengah adegan itu terasa kurang sampai dan ada masa terasa pelik untuk disertakan.
Ada juga adegan, terutama seperti rompakan emas yang dilakukan pada awal filem, hanya berkait secara kecil sahaja dengan keseluruhan penceritaan yang sedikit aneh, tambahan lagi selepas rompakan tersebut mereka beralih ke penceritaan 10 tahun kemudian dengan Keyrol keluar daripada penjara tanpa memperlihatkan terlebih dahulu bagaimana dia dimasukkan ke dalam penjara. Sebaliknya, perkara itu disampaikan secara imbas kembali kemudian, ia bukan teknik penyampaian yang salah tetapi sedikit janggal bagaimana ia dilakukan terutama di awal filem ini.
Lakonan saya boleh katakan memuaskan, terutama Syafiq Kyle dan Aaron Aziz yang menjadi watak diberikan lebih perwatakan di dalam filem ini, cuma saya merasakan penggunaan terlalu kerap prop seperti menghisap rokok, menjadikannya kurang berkesan dan cara yang terlalu mudah untuk membentuk watak. Perhubungan lima adik beradik, saya merasakan kurang menjadi kerana mereka lebih kelihat seperti rakan-rakan berbanding adik beradik namun mungkin itu pilihan kreatif yang dilakukan. Watak jahat seperti ‘Glasses’ juga dilakukan dengan baik, Jay Iswazir membawa wataknya dengan baik untuk menjadikan watak jahat yang akan dibenci oleh semua.
Akhir kata, The Experts bukanlah satu filem heist yang unik tetapi lebih kepada satu filem komedi yang mencuit hati dengan pelbagai adegan melucukan. Plot twist yang disertakan cukup menarik dan masih memberi kejutan walaupun pada akhir-akhir penceritaan oleh itu ia satu tontonan yang baik sehingga ke akhir filem tetapi kejadian ataupun susunan sesetengah adegan boleh diperbaiki untuk tidak menjadikan filem ini mengelirukan terutama di bahagian awal filem kerana ia penting sebagai pembukaan kepada penceritaan ini.
The Experts kini ditayangkan di pawagam.