Ulasan Furiosa: A Mad Max Saga

Furiosa: A Mad Max Saga merupakan filem kelima di dalam siri filem Mad Max yang juga merupakan filem prekuel kepada Mad Max: Fury Road. Jika anda ‘bernasib baik’ untuk masih tidak menonton Fury Road, saya sangat cadangkan tonton Furiosa terlebih dahulu. Ia bukan sahaja kerana Furiosa merupakan satu filem prekuel akan tetapi pengalaman menonton filem ini menjadi lebih baik jika anda tidak menyedari yang Fury Road adalah satu filem yang lebih epik dan lebih baik di dalam kebanyakan perkara berbanding filem ini.

Seperti judulnya, filem ini memfokuskan kepada watak Furiosa yang pertama kali diperkenalkan di dalam filem Fury Road. Furiosa berasal daripada “Green Place of Many Mothers” akan tetapi sewaktu dia kecil, dia telah diculik oleh geng motosikal yang diketuai oleh Dementus lakonan Chris Hemsworth, Dementus menjadikan Furiosa tahanan untuk mengorek rahsia mengenai lokasi Green Place yang dikatakan mempunyai pelbagai sumber dan bahan mentah, namun Furiosa terus berdiam diri dan merahsiakan lokasi tersebut.

Selepas beberapa lama kemudian, Dementus di dalam misi mencari Green Place tersebut telah menjumpai kubu kuat Immortan Joe iaitu Citadel, melihat yang agak sukar untuk melawan dengan Immortan Joe, Dementus sebaliknya merampas Gas Town dan di dalam perjanjian untuk dia terus mengawal Gas Town, Immortan Joe meminta untuk dia menyerahkan Furiosa kepadanya, sesuatu yang dipersetujui oleh Dementus. Tidak lama selepas berada di dalam tahanan Immortan Joe, Furiosa melarikan diri dan menyamar menjadi sebahagian daripada krew, bermulalah perancangan Furiosa untuk kembali ke Green Place.

Berbanding Fury Road yang mempunyai satu penceritaan ringkas tetapi setiap minit terisi dengan aksi, Furiosa mengambil masa untuk memberi penceritaan kepada dunia dan juga watak-watak yang ada. Furiosa diperlihatkan daripada waktu kecil sehingga besar yang dilakonkan oleh Anya Taylor-Joy, watak seperti Dementus juga diberi peluang untuk dikembangkan. Oleh itu, ia mempunyai lebih banyak penceritaan, jika anda menyukai perkara ini, ia akan menjadi sesi tontonan yang baik tetapi jika anda seperti saya yang berharap sesuatu seperti Fury Road, filem ini akan terasa lebih perlahan dan terdapat juga beberapa babak ataupun bahagian di dalam penceritaan yang saya rasakan tidak diperlukan.

Filem ini dibahagikan kepada beberapa bab, dengan setiap bab memfokuskan kepada perkara-perkara berlainan. Ia adalah baik untuk membahagikan kisah di dalam filem ini, namun bagi saya ia sedikit mengganggu di dalam flow penceritaan, sekali lagi saya mungkin bias kerana menonton Fury Road yang disampaikan secara berterusan tanpa henti. Manakala filem ini terdapat terlalu banyak penukaran adegan dengan setiap adegan ataupun bab ini tidak memberikan kepuasan, ia menjadi perkara yang mengganggu pengalaman saya berbanding membantu saya untuk mengikuti filem ini.

Saya akui, agar tidak tepat untuk saya membandingkan Furiosa dengan Fury Road terutama kerana George Miller cuba menyampaikan sesuatu yang berbeza untuk dua filem ini, akan tetapi saya tidak boleh mengelak daripada perasaan tidak puas menonton Furiosa dan antara sebabnya adalah ia tidak memberi saya sesuatu yang sama seperti Fury Road. Jika saya tidak pernah menonton Fury Road, mungkin saya akan mempunyai pengalaman yang lebih baik akan tetapi pada masa sama, walaupun tanpa Fury Road masih terdapat beberapa bahagian di dalam Furiosa yang menjadikan ia kurang baik, terutama dengan pengenalan watak tambahan seperti Jack lakonan Tom Burke.

Bahagian aksi filem ini masih lagi gempak dengan pelbagai pertempuran berlaku terutama disebabkan peperangan di antara Dementus dan Immortal Joe yang turut melibatkan Furiosa serta Jack. Namun, saya juga merasakan yang bahagian aksi di dalam filem ini tidak memberi kepuasan, walaupun saya disajikan dengan pelbagai aksi yang menarik tetapi saya tidak berasa ‘dekat’ dengan apa yang sedang berlaku dan tidak memberikan perasaan saya sedang berada di dalam pertempuran ini, sesuatu yang sekali lagi saya katakan dilakukan dengan baik oleh filem Fury Road.

Furiosa: A Mad Max Saga satu filem yang penuh dengan penceritaan, ditambah lagi dengan pelbagai aksi menarik akan tetapi ia gagal untuk menjadi satu filem yang epik, ini tambahan lagi ia berada di bayangan Fury Road yang memberikan satu pengalaman yang saya cari daripada francais ini. Terlalu banyak bahagian penceritaan serba sedikit mengganggu flow penceritaan, aksi juga tidak terasa dekat seperti sebelum ini, namun masih satu filem yang baik sebagai entrée sebelum menu utama iaitu Mad Max: Fury Road disajikan.

Furiosa: A Mad Max Saga ditayangkan bermula 23 Mei 2024.

Furiosa: A Mad Max Saga
Furiosa: A Mad Max Saga merupakan satu entrée yang baik sebelun Mad Max: Fury Road disajikan sebagai menu utama, akan tetapi secara kendirinya Furiosa tidak diberikan peluang untuk menjadi lebih epik.
Positif
Penceritaan mengenai Furiosa yang menarik
Pelbagai adegan aksi
Negatif
Ada bahagian terasa kurang menarik
Penceritaan secara bab menganggu alirang penceritaan
Kurang epik
8

Sohor Kini