Skip to main content

Horizon Forbidden West Complete Edition merupakan koleksi penuh untuk permainan susulan kepada Horizon Zero Dawn, edisi ini menyertakan permainan asas dan juga DLC Burning Shores yang dilancarkan lebih kurang setahun selepas Forbidden West dilancarkan. Bagi pemain di PC, versi Complete Edition sahaja yang ditawarkan oleh itu anda tidak boleh membeli Forbidden West sahaja tanpa mendapatkan bersama DLC ini dan bagi saya ia adalah pilihan terbaik kerana permainan asas dan DLC memberikan satu pengalaman yang baik untuk bermain walaupun secara amnya pengisian dan juga penceritaan bagi permainan kedua untuk siri ini agak mengecewakan.

Sebelum ini saya sudah mengeluarkan ulasan untuk Horizon Forbidden West dan juga DLC Burning Shores, oleh itu melalui ulasan ini saya lebih ringkaskan ulasan saya untuk bahagian-bahagian yang tidak akan mempunyai sebarang perubahan untuk versi PS5 ataupun untuk PC. Jika anda ingin membaca lanjut, anda boleh membaca ulasan khusus melalui pautan saya sertakan sebelum ini.

Penceritaan Forbidden West bermula tidak lama selepas Zero Dawn, selepas berjaya mengelak daripada ‘kiamat’ di dalam permainan pertama, cabaran Aloy masih tidak berakhir. GAIA sudah tidak berfungsi yang menyebabkan keadaan di dunia tidak menentu, dengan berlakunya wabak yang merosakkan tanaman dan menjadikan mesin-mesin mengganas, apa yang Aloy perlu lakukan seterusnya adalah mengembalikan fungsi GAIA untuk menyelamatkan manusia daripada ancaman kepupusan. Di dalam usaha Aloy ini, beliau juga mula menyedari mengenai ancaman lain yang mengancam dunia, dan ancaman ini hadir daripada ‘luar’.

Secara amnya saya boleh katakan yang penceritaan adalah menarik, walaupun tidak sebaik permainan pertama terutama atas dua perkara pertama saya tidak menyukai perwatakan Aloy terutama pada awal permainan kerana dia terlalu fokus untuk melakukan perkara secara bersendirian dan ingin melakukannya dengan cepat. Walaupun saya faham ‘mengapa’ akan tetapi saya tidak merasakan ia sesuatu yang membantu untuk menjadikan Aloy watak yang lebih baik, tambahan lagi Horizon merupakan permainan dunia terbuka, oleh itu tidak masuk akal yang Aloy sering mengatakan ingin melakukan sesuatu perkara dengan cepat tetapi pada masa yang sama permainan memberikan saya peluang untuk melakukan pelbagai perkara lain.

Saya juga tidak menyukai dengan permainan ini memfokuskan kepada antagonis yang hadir daripada ‘luar’. Saya menyukai permainan pertama kerana ia memfokuskan kepada perkara setempat dengan usaha manusia untuk terus kekal di bumi ini, namun apabila ia menyertakan sesuatu yang diluar, penceritaan terasa sangat senang dan menjadikannya kurang menarik. Ia memberikan perkara yang baik bagi konsep fiksyen sains tetapi bagi saya ia terasa permainan ini cuba meluaskan penceritaan terlalu cepat yang akhirnya memberikan kesan kepada pengalaman penuh penceritaan.

Manakala Burning Shores pula membawa penceritaan yang meneruskan penceritaan daripada permainan asas, walaupun melawan dengan antagonis baharu tetapi ia adalah daripada kumpulan yang sama daripada Forbidden West yang bagi saya sedikit mengecewakan terutama saya merasakan penceritaan untuknya kurang menarik, oleh itu jika ia meneruskan perkara yang sama ia tidak sangat mengembangkan lagi penceritaan. Namun, Aloy sekurang-kurangnya bertemu dengan beberapa watak baharu yang memberi sesuatu yang segar untuk permainan ini.

Kekurangan pada penceritaan ditampung oleh dunia terbuka yang dihasilkan dengan luas dan menarik, pengisian adalah menarik tetapi akan terasa menggunakan formula yang sama dengan permainan-permainan dunia terbuka yang lain, tambahan lagi Burning Shores yang bagi saya mempunyai pengisian yang terhad. Namun, ia masih lagi satu dunia yang seronok untuk diteroka, kawasan di dalam Forbidden West cukup luas, dan ditambah lagi kawasan Burning Shores memberikan dua kawasan yang dengan rekaan yang pelbagai. Saya boleh mengembara melalui udara menggunakan Sunwing, ataupun di darat dengan berjalan kaki dan juga menaiki robot dan Burning Shore juga memperkenalkan boat.

Saya juga boleh katakan yang saya lebih menyukai melakukan perkara sampingan, seperti memburu di PC berbanding di PlayStation sebelum ini, terutama kerana dapat mengawal Aloy menggunakan papan kekunci dan tetikus. Dengan Horizon merupakan permainan yang memfokuskan kepada penggunaan senjata jarak jauh seperti panah, lembing dan pelbagai lagi menjadikan penggunaan tetikus sangat berkesan. Ini ditambah lagi saya perlu menyasar bahagian tertentu pada robot, menggunakan tetikus menjadikan lebih seronok dan tidak menjengkelkan berbanding menggunakan alat kawalan.

Horizon Forbidden West Complete Edition untuk PC dibangunkan oleh Nixxes Software yang bagi saya sentiasa membawa port yang baik, dan begitu juga untuk permainan ini. Permainan ini menyediakan pelbagai tetapan yang boleh membantu saya untuk mendapatkan prestasi yang terbaik, tambahan pada itu, bahagian tetapan memperlihatkan secara perubahan kepada visual dan juga grafik secara terus, memudahkan lagi proses penetapan. Terdapat juga praset yang boleh digunakan dan terdapat 5 praset iaitu dari Very Low sehingga Very High yang bersesuaian untuk pelbagai spesifikasi PC.

Saya bermain permainan ini di PC yang menggunakan cip AMD Ryzen 5 3600, NVIDIA GeForce RTX 4070 Super dengan 16GB RAM. Saya boleh menggunakan praset yang tertinggi dan mendapat preasti lebih kurang 30 sehingga 40FPS, tetapi boleh melebihi 100FPS apabila menggunakan DLSS 3. Kualiti grafik sudah semestinya lebih baik jika tidak menggunakan DLSS, akan tetapi saya merasakan pengorbanan kualiti keseluruhan grafik adalah berbaloi untuk mendapat kelancaran yang lebih tinggi. Jika anda tidak menggunakan monitor yang menyokong kadar segar semula melebihi 60Hz, saya cadangkan untuk tidak menggunakan DLSS dan sekadar mencari tetapan untuk mendapat 60FPS yang stabil, dan saya boleh katakan ia adalah mudah terutama untuk PC yang spesifikasi sederhana.

Sepanjang saya bermain, menggunakan DLSS 3 hanya terdapat beberapa kawasan sahaja yang akan menjadikan kelancaran lebih rendah daripada 80FPS terutama kawasan-kawasan yang mempunyai air dan juga hutan yang tebal, oleh itu kawasan baharu yang diperkenalkan di dalam Burning Shore yang sering terkesan dengan penurunan prestasi ini. Ia tidak memberi kesan kepada saya kerana ia masih satu kelancaran yang tinggi, tetapi jika anda menyasarkan 60FPS, ia akan lebih terasa kerana akan jatuh lebih rendah daripada 50FPS, jika berlaku terlalu kerap saya cadangkan untuk menggunakan DLSS agar dapat 60FFPS yang lebih stabil.

Akhir kata, Horizon Forbidden West Complete Edition untuk PC membawa satu permainan dunia terbuka yang luas, pengisian yang menarik dan rekaan grafik serta visual yang cantik. Prestasi adalah baik, dengan secara umumnya permainan ini satu port yang baik ke PC, bagi yang ingin kelancaran yang lebih tinggi, sokongan DLSS dan juga AMD FSR disertakan tanpa terlalu mengorbankan kualiti visual. Namun, permainan ini sedikit mengecewakan untuk penceritaan kerana kurang menarik terutama dengan antagonis yang diperkenalkan manakala penceritaan Burning Shores sekadar meneruskan penceritaan yang sama.

Horizon Forbidden West Complete Edition (PC)
Permainan susulan untuk siri Horizon yang baik dengan pengisian dunia terbuka yang pelbagai, grafik serta visual yang cantik dan prestasi di PC yang sangat memuaskan tetapi mengecewakan untuk penceritaan.
Positif
Port yang baik
Pengisian dunia terbuka yang pelbagai
Grafik dan visual yang cantik
Negatif
Penceritaan kurang menarik
DLC Burning Shore tidak membawa penambahan yang besar
8

Leave a Reply