Skip to main content

Selain sumpahan filem berdasarkan permainan video, Garfield juga mempunyai sumpahan tersendiri dengan dua filemnya sebelum ini, bukanlah filem terbaik pernah dihasilkan dan percubaan terbaru ini melibatkan nama besar seperti Chris Pratt sebagai Garfield dan Samuel L. Jackson sebagai Vic iaitu bapa Garfield, melakukan satu percubaan yang baik akan tetapi masih tidak membawa penceritaan yang tidak lebih daripada ‘boleh diterima’ sahaja.

Filem ini memfokuskan kepada perhubungan di antara Garfield dan bapanya Vic, pada waktu kecil Garfield yang terpisah daripada bapanya telah dibela oleh Jon Arbuckle dan tidak langsung berhubung dengan bapanya, sehinggalah Garfield diculik oleh Jinx iaitu seekor kucing Parsi sebagai umpan untuk memerangkap Vic. Vic datang untuk menyelamatkan Garfield akan tetapi turut terperangkap bersama dan Jinx telah meminta untuk Vic dan Garfield mencuri lori susu daripada satu ladang tenusu.

Garfield yang menganggap bapanya meninggalkannya sebelum ini terpaksa bekerjasama dengan Vic bagi memenuhi kehendak Jinx tersebut, dan bermula perancangan ‘heist’ mereka dengan bantuan Odie anjing peliharaan Jon, dan Otto iaitu seekor lembu di ladang tenusu tersebut. Kekuatan filem ini adalah di bahagian heist yang saya boleh katakan menyeronokkan dengan pelbagai adegan melucukan berlaku dan juga penuh aksi.

Namun, bahagian lain agak mengecewakan terutama perhubungan di antara Garfield dan Vic yang bagi saya tidak disampaikan dengan memuaskan, ia masih memberikan adegan yang beremosi akan tetapi lebih banyak adegan yang membosankan, terutama dialog-dialog yang dilakukan terlalu banyak percakapan kosong dan tiada pengisian yang menarik. Gandingan Chris Pratt dan Samuel L. Jackson bagi saya juga tidak begitu menjadi.

Sebaliknya, watak seperti Otto yang dilakonkan suara oleh Ving Rhames dan Jinx oleh Hannah Waddingham terasa lebih menyerlah dan pembawaan watak mereka adalah lebih menarik. Filem ini masih mempunyai adegan yang mencukupi untuk menjadikannya menyeronokkan tetapi pada masa terdapat juga beberapa perantaraan yang membosankan dan ini secara langsung menjejaskan pengalaman tontonan saya.

Animasi pula, ia tidak mengecewakan yang seronok untuk dipandang termasuk juga dengan rekaan persekitaran, dengan bagaimana ladang tenusu dihasilkan untuk menjadikan heist yang sedang dilakukan kelihatan seperti satu filem pengintipan. Terdapat juga banyak jenaka dilakukan melalui gerakan badan ataupun adegan-adegan aksi yang dilakukan dengan baik untuk memberi perkara menarik tambahan kepada filem ini.

Akhir kata, The Garfield Movie tidak berjaya untuk membawa penceritaan yang menarik tetapi animasi, adegan-adegan aksi, dan beberapa bahagian jenaka membantu untuk menjadikannya tidak membosankan. Ia masih satu tontonan yang baik untuk semua tetapi bersedia untuk melalui beberapa bahagian yang membosankan terutama adegan yang lebih berat dengan dialog terutama kerana gandingan di antara Chris Pratt dan Samuel L. Jackson kurang menjadi.

The Garfield Movie
Filem ini tidak berjaya untuk membawa penceritaan yang menarik tetapi animasi, adegan-adegan aksi, dan beberapa bahagian jenaka membantu untuk menjadikannya tidak membosankan.
Positif
Animasi yang berkualiti
Adegan aksi dan jenaka yang baik
Negatif
Penceritaan tidak disampaikan dengan baik
Gandingan Chris Pratt dan Samuel L. Jackson tidak menjadi
Adegan dialog membosankan
7

Leave a Reply