Ulasan IF

IF, merupakan filem oleh John Krasinski yang ‘berehat’ daripada mengarah filem thriller A Quiet Place dan A Quiet Place Part II, kepada filem yang lebih kekeluargaan, seperti filem The Hollars yang diarahnya pada tahun 2016, dan seperti The Hollars juga, IF bukanlah filem terbaik olehnya. Walaupun mempunyai premis penceritaan yang baik akan tetapi penyampaian penceritaan ini bercelaru yang gagal untuk memberi pengalaman yang berterusan, namun masih terdapat beberapa adegan yang akan menyentuh jiwa.

Filem ini memfokuskan kepada seorang kanak-kanak perempuan iaitu Bea lakonan Cailey Fleming, dia seorang kanak-kanak yang ceria dan penuh imaginasi, akan tetapi selepas ibunya meninggal dunia, dia merasakan tidak lagi boleh menjadi kanak-kanak. Selepas bapanya lakonan John Krasinski sendiri memasuki hospital, dia tinggal bersama dengan neneknya lakonan Fiona Shaw, dan disitulah dia terserempak dengan Blossom (Phoebe Waller-Bridge), iaitu rama-rama berbentuk manusia.

Pada awalnya dia merasakan yang Blossom sekadar imaginasinya sahaja kerana orang lain tidak dapat melihatnya, tetapi keadaan menjadi lebih aneh apabila dia berjumpa dengan Blue (Steve Carell) iaitu satu patung berbulu besar dan juga Cal lakonan Ryan Reynolds iaitu seorang manusia yang bukan sekadar turut dapat melihat Blossom dan Blue tetapi mereka berdua juga kelihatan bersama. Bea kemudian meminta penjelasan daripada Cal, dan Cal kemudian memberitahu yang Blossom dan Blue merupakan ‘rakan imaginasi’ ataupun imaginary friend (IF) kanak-kanak yang sudah dilupakan dan dia ditugaskan untuk membantu mereka mencari kanak-kanak baharu.

Bea kemudian meminta Cal untuk turut membantu, Cal pada awalnya tidak bersetuju tetapi kemudian menyedari yang Bea sebagai seorang kanak-kanak mungkin lebih mengetahui mengenai perasaan kanak-kanak yang lain. Maka bermulalah kisah mereka mencari ‘rumah’ baharu bagi IF-IF ini. Filem ini kemudian memperlihatkan pelbagai rekaan IF yang berbeza, dan merupakan bahagian paling menarik di dalam filem ini. Ia bagaikan memperlihatkan satu imaginasi kanak-kanak yang pelbagai, setiap daripada mereka juga mempunyai penceritaan tersendiri berkait dengan kanak-kanak yang ‘mencipta’ mereka.

Bahagian utama yang saya boleh katakan agak mengecewakan adalah bagaimana filem ini menyertakan watak Bea. Saya faham yang dia ingin menjadi ‘orang dewasa’ kerana kesan daripada kehilangan ibunya dan dia tidak ingin bersedih lagi, akan tetapi penyertaan Bea di dalam penceritaan ini terasa terlalu mendesak dan ada masa saya sedikit keliru dengan aliran penceritaan. Ini menjejaskan pengalaman kerana Bea merupakan watak yang penting di dalam filem ini, dan juga bahagian besar untuk penceritaan keseluruhannya. Perkara ini juga membuatkan bahagian awal dan juga pertengahan filem ini sedikit membosankan, dengan perkara menarik sekadar apabila Bea dan Cal berinteraksi dengan IF yang lain.

Perhubungan Bea dan Cal juga terasa agak janggal, walaupun perhubungan mereka mempunyai penceritaan tersendiri, akan tetapi penyampaian-nya kurang menjadi dan sekali lagi menjejaskan pengalaman penceritaan ini. Bagi filem yang mempunyai imaginasi yang sangat baik di dalam penghasilan IF, saya boleh katakan yang penceritaan kekurangan perkara tersebut dan menjadikannya kurang berwarna di dalam filem yang penuh dengan warna warni. Saya yakin yang filem ini lebih baik, jika mereka menghasilkannya dengan lebih menyeronokkan.

Kekuatan IF yang saya boleh katakan selain daripada rekaan pelbagai IF adalah beberapa adegan yang menyentuh jiwa dilakukan dengan menjadi dan membuatkan saya lebih mendalam penceritaan bagi bahagian tersebut berbanding dengan bahagian-bahagian lain. Ia beberapa bahagian sahaja, tetapi mencukupi untuk saya membawa sesuatu daripada filem ini dan tidak terasa sepenuhnya kosong.

Akhir kata, IF adalah satu filem yang penuh dengan imaginasi dengan rekaan pelbagai watak-watak menarik, malangnya imaginasi itu tidak di bawa ke jalan penceritaan menjadikan ia kelam di dalam dunia yang penuh dengan warna. Filem ini gagal untuk menggunakan premisnya yang menarik untuk dikembangkan dengan lebih menarik menjadikannya bukanlah filem terbaik oleh John Krasinski dan lakonan Ryan Reynolds.

IF sudah mula ditayangkan di pawagam.

IF
Filem yang penuh dengan imaginasi dengan rekaan pelbagai watak-watak menarik, malangnya imaginasi itu tidak di bawa ke jalan penceritaan menjadikan ia kelam di dalam dunia yang penuh dengan warna.
Reader Rating0 Votes
0
Positif
Rekaan IF yang menarik
Beberapa adegan menyentuh jiwa
Negatif
Penceritaan bercelaru
Kurang 'imaginasi' di dalam penyampaian
Watak-watak tidak berhubung dengan baik
6

Sohor Kini