Uncle Samsik merupakan siri Kdrama terbaru yang akan mula disiarkan di Disney+ Hotstar hari ini, dan saya sudah berkesempatan untuk menonton 5 episod daripada 16 episod yang akan tiba secara mingguan. Saya boleh katakan yang Uncle Samsik merupakan satu pengisian yang terbaik untuk kekosongan siri oleh FX iaitu Shogun yang berakhir pada bulan lepas.

Saya masih di peringkat awal untuk siri ini, dengan masih terdapat 11 episod untuk ditonton ia boleh menjadi dan membawa pelbagai perkara yang berbeza, namun daripada 5 episod ini, ia sudah menarik minat saya terutama dengan Uncle Samsik merupakan siri mengenai politik di Korea sekitar tahun 1960-an. Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai sejarah di Korea, tetapi siri ini menyampaikan dengan cara yang tidak terlalu rumit dan memudahkan saya untuk mengikutinya.

Siri ini adalah mengenai Kim San iaitu seorang yang berpelajaran barat (Amerika Syarikat) dan mempunyai idea untuk menjadikan Korea sebagai satu negara yang maju dan industrialis, akan tetapi dia juga tidak berminat dengan politik – sehinggalah dia berjumpa dengan Pak Doochill yang juga dikenali sebagai Uncle Samsik – Samsik membawa maksud ‘tiga hidangan’ kerana dia dikatakan akan memastikan rakan dan keluarga sekurang-kurangnya mendapat tiga hidangan makanan setiap hari.

Uncle Samsik juga mempunyai idea yang sama untuk menjadikan Korea sebagai satu negara yang maju, dan dia melihat mempunyai idea yang sama dengan Kim San. Oleh itu, Uncle Samsik mula merancang untuk menjadikan Kim San sebagai Perdana Menteri Korea, walaupun dia tidak mempunyai sebarang pengalaman di dalam politik dan juga bukan sebahagian daripada mana-mana parti politik. Uncle Samsik bukan sahaja merancang untuk Kim San, dia juga terlibat dengan parti-parti politik yang lain, setiap orang merupakan kawan dan lawan kepadanya.

Dengan penglibatan Uncle Samsik ini dengan pelbagai bahagian helah membuatkan saya teringat wataknya kepada Lord Yoshii Toranaga, di dalam Shogun Toranaga dikatakan boleh membentuk gerakan angin, manakala di dalam siri ini Uncle Samsik dikatakan boleh menentukan nasib sesiapa sahaja walaupun dia sendiri tidak percaya dengan konsep nasib. Siri ini juga dengan baik memperlihatkan bagaimana setiap perancangan tidak berlaku seperti dijangkakan tetapi bagaimana mereka mengambil kesempatan daripada ‘kegagalan’ tersebut yang menjadikannya menarik.

Siri ini juga sering bermain dengan imbas kembali dan juga imbas kedepan yang buat masa ini ia terasa sedikit mengganggu aliran penceritaan, terutama bagi bahagian imbas kedepan. Namun, jika dalam 11 episod yang akan datang mereka dapat merumuskan perkara tersebut, ia mempunyai potensi untuk menjadi satu bahagian yang memuaskan. Sementara itu, ia boleh dikatakan sebagai perkara yang sedikit mengelirukan untuk siri ini.

Siri ini juga membawa pelakon-pelakon yang hebat dengan setiap daripada mereka membawa watak dengan baik sekali, terutama Song Kang-ho yang membawa watak Park Doochil ataupun Uncle Samsik, Byun Yohan sebagai Kim San. Mereka berdua menjadi pengerak utama penceritaan dengan Uncle Samsik yang licik dan Kim San yang mempunyai jiwa yang besar tetapi mula menyedari yang menjadi seorang yang baik tidak akan memberi kejayaan kepadanya di dalam dunia politik dan menyukarkannya untuk mencapai ‘impian’ melihat Korea yang maju.

Selain daripada kisah politik, siri ini juga menyelit dengan baik kisah-kisah lain seperti kekeluargaan, pencintaan dan juga persahabatan yang sering berkait dengan satu sama lain dan juga sesuatu yang digunakan oleh Uncle Samsik sendiri untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya. Ia juga memberi nilai tambahan kepada siri ini dan menjadikan watak-watak lain selain daripada dua watak utama tersebut untuk terlibat dengan lebih menyeluruh dengan penceritaan.

Akhir kata, masih terlalu awal untuk saya mengulas siri ini kerana saya baru sahaja menonton lima episod, tetapi berdasarkan lima episod ini ia memberikan perasaan yang sama selepas saya menonton Shogun dan sangat teruja untuk melihat bagaimana plot penceritaan akan disampaikan terutama dengan bahagian imbas kedepan yang juga diselitkan di dalam penceritaan. Namun, saya mempunyai kerisauan yang ia mempunyai 16 episod yang berpotensi untuk menjadikan penceritaan terlalu banyak pengisian.

Disney+ Hotstar akan menyiarkan 5 episod pada 15 Mei 2024, dengan 2 episod akan tiba secara mingguan dan 3 episod terakhir akan tiba pada 19 Jun 2024.

Sohor Kini