Semasa Microsoft Gaming memperkenalkan Xbox Game Pass pada tahun 2017 diikuti PC Game Pass, saya sangat menyukainya bukan sahaja kerana saya dapat bermain pelbagai permainan dengan satu pembayaran bulanan akan tetapi saya lebih melihat kepada ia akan menjadi satu platform yang baik untuk permainan-permainan indie ataupun permainan yang boleh melakukan eksperimentasi dengan tatamain yang berbeza, kerana penjualan permainan tersebut bukanlah fokus utama dengan pembangunan akan ditampung oleh Microsoft dengan permainan tersebut akan ditawarkan di Game Pass.
Namun, dengan perkembangan terbaru, terutama penutupan studio seperti Tango Gameworks dan Arkane Austin, mungkin tanggapan saya mengenai Xbox Game Pass tidak lagi benar ataupun saya tersalah faham. Tango Gameworks yang hadir dengan permainan seperti Hi-Fi Rush, satu permainan yang bagi saya sangat bersesuaian dengan konsep Game Pass, tampaknya tidak cukup untuk meneruskan kelangsungan studio tersebut. Hi-Fi Rush merupakan satu permainan yang menurut Xbox sendiri, berjaya di pelbagai metrik, satu permainan yang dilancarkan tanpa promosi, dilancarkan secara terus di Game Pass dan menerima 3 juta pemain, adakah itu tidak mencukupi untuk dijadikan sebagai contoh kejayaan bagi permainan di Game Pass?
Tango Gameworks mungkin ditutup atas sebab yang berlainan kerana ia masih lagi satu perniagaan melibatkan pelbagai perkara dan pihak akan tetapi bagi saya penutupannya sukar untuk saya fahami, terutama ia adalah satu-satunya studio di Jepun di bawah Microsoft Gaming, satu pasaran yang sudah lama Xbox cuba untuk tembusi. Game Pass juga sebelum ini sudah membawa pelbagai permainan daripada pembangun Jepun, untuk menarik minat pemain-pemain dari negara tersebut. Dengan penutupan ini, adakah Microsoft sudah mengangkat bendera putih untuk bersaing dengan PlayStation dan Nintendo di negara tersebut, ataupun mereka ingin memfokuskan kepada pembangun pihak ketiga seperti perjanjian dengan Kojima Productions?
Dengan berlakunya perkara ini dan persoalan-soalan yang hadir, saya tidak lagi merasakan yang Game Pass tempat untuk permainan-permainan yang mungkin tenggelam dengan ratusan jika bukan ribuan permainan dilancarkan setiap bulan mendapat tempat, ataupun menjadi tempat untuk mereka mendapatkan dana bagi membantu permainan tersebut dibangunkan. Sebaliknya, Game Pass kini menjadi tempat untuk Microsoft mendapat keuntungan tambahan, bersama dengan jualan permainan-permainan lain. Ia tidak lagi menjadi tempat untuk permainan yang ‘berlainan’ untuk berkembang, sebaliknya menjadi tempat untuk permainan yang sudah sedia popular dan sekadar menarik lebih ramai untuk melanggan perkhidmatan tersebut.
Telah dilaporkan yang perkembangan Game Pass tidaklah sepantas yang diharapkan oleh Microsoft, akan tetapi pada masa yang sama, beberapa pelaburan mereka seperti Activision Blizzard buat masa ini hanya satu sahaja permainan yang disertakan di dalam perkhidmatan tersebut, iaitu Diablo IV. Pengharapan mereka untuk menawarkan Game Pass ini di lebih banyak platform melalui penggunaan Cloud juga masih lagi terhad untuk beberapa pasaran sahaja, tambahan lagi kebanyakan negara hanya terhad kepada langganan PC Game Pass sahaja termasuk juga Malaysia. Oleh itu, tidak salah jika saya mengatakan yang saya masih tidak pasti dengan strategi yang ingin dilakukan oleh Microsoft untuk Xbox, dan dengan penutupan studio seperti Tango Gameworks, saya menjadi lebih keliru.
Saya tidak akan mengatakan yang penawaran Game Pass sesuatu perkara gagal, secara amnya saya masih menyukainya dan akan terus melanggan PC Game Pass kerana penawarannya masih lagi baik akan tetapi pada masa yang sama, Microsoft seharusnya mempunyai strategi yang tidak mengelirukan terutama di dalam penawaran Game Pass dan juga untuk pembangunan permainan-permainan oleh mereka. Saya tidak tahu perkara-perkara yang berlaku secara dalaman, akan tetapi saya sekadar berharap studio-studio di bawah Xbox Game Studios, Activision Blizzard dan Bethesda diberikan satu strategi yang jelas mengenai bagaimana permainan mereka akan dinilai sebagai satu kejayaan ataupun tidak.
Jika sesuatu filem ataupun siri TV tidak mendapat sambutan di platform penstriman seperti Netflix, filem dan siri TV tersebut akan ditamatkan atau tidak akan menerima kandungan susulan, adakah jika permainan oleh studio di bawah Microsoft tidak berjaya untuk menarik pelanggan ke Game Pass ataupun terjual dengan baik, studio mereka akan dianggap ditutup? Adakah Game Pass bukan satu tempat untuk memberi lebih kebebasan kepada pembangun, sebaliknya satu platform untuk menentukan kejayaan mereka?