Microsoft Tutup Tango Gameworks, Arkane Austin

Microsoft telah menutup empat lagi studio pembangunan di bawah Bethesda selepas memecat 1,900 pekerja pada awal tahun ini. Empat studio yang terkesan adalah Tango Gameworks, Arkane Austin, Alpha Dog Games dan Roundhouse Studios yang diserap ke dalam ZeniMax Online Studios.

Tango Gameworks yang ditubuhkan pada tahun 2010 dan diambil-alih oleh ZeniMax Asia pada tahun yang sama sebelum ini hadir dengan permainan seperti The Evil Within, Ghostwire: Tokyo dan Hi-Fi Rush. Ia juga merupakan satu-satunya studio permainan video di bawah Microsoft Gaming di Jepun.

Shinji Mikami yang merupakan pengasas untuk studio ini meninggalkan studio tersebut pada tahun lepas di dalam kenyataan ringkas di X, mengatakan beliau sedih dengan pengumuman penutupan Tango Gameworks ini.

Arkane Austin yang merupakan sebahagian daripada studio di bawah Arkane bersama dengan Arkane Lyon sebelum ini membangunkan permainan Redfall, Prey dan pembangun bersama untuk Dishonored. Dengan penutupan ini, Redfall tidak lagi akan menerima kemaskini walaupun dilaporkan yang Arkane Austin sedang membangunkan mod luar talian untuk permainan tersebut.

Dinga Bakaba iaitu ketua untuk Arkane Lyon mengatakan yang beliau sangat kecewa dengan penutupan Arkane Austin dan mengatakan yang eksekutif di Microsoft mempunyai tanggungjawab untuk menjaga pekerja-pekerja mereka dan tidak seharusnya menjadi mangsa di dalam kesilapan mereka.

Alpha Dog Games yang juga dikenali sebagai ZeniMax Halifax ditubuhkan pada tahun 2012 sebelum diambil alih oleh ZeniMax pada tahun 2019. Mereka membangunkan beberapa permainan mudah alih termasuk juga Mighty DOOM yang dilancarkan pada tahun 2021 lepas.

Penutupan ini mungkin berkait dengan pengambil-alihan Activision Blizzard, yang turut melibatkan King iaitu pembangun untuk Candy Crush dan juga antara pembangun permainan mudah alih terbesar di pasaran.

Roundhouse Studios merupakan studio yang ditubuhkan pada tahun 2019 oleh bekas-bekas pembangun Human Head Studios, mereka sering terlibat sebagai pembangun bersama untuk permainan-permainan di bawah ZeniMax, termasuk juga Redfall bersama dengan Arkane Austin. Roundhouse Studios akan diserap masuk ke dalam ZeniMax Online Studios iaitu pembangun untuk The Elder Scrolls Online.

Buat masa ini, Microsoft masih tidak mengumumkan jumlah pekerja yang akan dipecat selepas penutupan empat studio ini.

Sohor Kini