Wall Street Journal hari ini telah melaporkan (paywall) yang Sony Pictures membuat tawaran bernilai $26 bilion (~RM123 bilion) untuk mengambil alih Paramount Global daripada National Amusements, tawaran ini akan dilakukan bersama dengan syarikat pengurusan aset Apollo Global Management dengan Sony akan mendapat majoriti pegangan.
Pada masa yang sama, Skydance Media juga mencadangkan untuk gabungan di antara mereka dan Paramount tetapi Paramount Global akan terus menjadi satu syarikat awam. Melalui senario ini, Redstone yang memiliki 77% pegangan National Amusements akan menjual pegangan tersebut kepada Skydance Media dan Skydance akan bergabung dengan Paramount Global.
Buat masa ini, Skydance Media mempunyai hak eksklusif untuk berbincang mengenai pengambil-alihan ini sehingga 4 Mei 2024 dan mungkin dilanjutkan. Tawaran oleh Sony Pictures hanya akan dibincangkan jika Paramount Global tidak mencapai persetujuan dengan Skydance, berdasarkan laporan Variety, pemegang saham Paramount lebih menyukai tawaran Skydance berbanding pengambil-alihan penuh.
Paramount Global merupakan syarikat media yang merupakan syarikat induk kepada Paramount Pictures, CBS, MTV, Nickelodeon dan pemilik bersama United International Pictures (bersama Universal Pictures).