Siri terbaru FX, The Veil memperlihatkan kekuatan utamanya melalui dua watak utama iaitu Imogen lakonan Elisabeth Moss dan Adilah lakonan Yumna Marwan. Imogen menerima tugasan untuk membawa keluar Adilah iaitu warga Perancis yang terlibat dengan kumpulan pengganas ISIS daripada satu kem pelarian kerana. Pada masa yang sama Imogen iaitu perisik untuk MI6 juga ditugaskan untuk memastikan Adilah berkongsi mengenai satu perancangan ISIS yang dia dikatakan terlibat. Manakala Adilah pula agak mengelirukan kesetiaannya, dia mengatakan ingin memastikan keselamatan anak kecilnya yang berada di Perancis tetapi pada masa tidak sentiasa berterus terang mengenai penglibatannya.
Misteri, rahsia, helah dan kelicikan kedua-dua watak ini menjadi penggerak utama penceritaan menjadikan setiap episod terasa tegang dengan sukar untuk melihat di-sebalik selubung yang dipakaikan oleh dua watak ini. Ia menjadi lebih menarik ataupun menjengkelkan untuk sesetengah orang, bagaimana Imogen berfungsi sebagai perisik terasa lebih kepada lihat dan bertindak berbanding merancang dari awal lagi dengan apa yang ingin dilakukan olehnya. Bagi saya ia adalah menarik kerana memberi kejutan tetapi ada masa ia terasa seperti kebetulan yang sering berlaku untuk memudahkan penjalaan plot.
Kekeliruan mengenai kedua-dua watak ini, ditambah kerumitannya dengan ia juga melibatkan agensi dari Perancis dan juga agensi dari Amerika Syarikat yang tidak sentiasa sepakat dengan apa yang ingin dilakukan oleh mereka. Agensi Perancis melibatkan Malik Amar lakonan Dali Benssalah yang juga teman lelaki Imogen, dan Amerika Syarikat pula melalui Max Peterson lakonan Josh Charles yang ingin melakukan apa sahaja agar dapat mencapai sasarannya. Di dalam kerumitan ini, Imogen dan Adilah perlu melalui pelbagai permasalahan yang berbeza dan lakonan yang baik daripada kedua-dua mereka berjaya untuk membawa adegan yang tidak bosan.
Siri ini juga mempunyai pacing yang agak baik, ia bermula dengan permasalahan ringkas iaitu di antara Imogen dan Adilah, tetapi kemudian menjadi lebih rumit dengan penglibatan pelbagai agensi dan juga pengganas sendiri tetapi semua ini tidak dilakukan secara terus di dalam episod permulaan, sebaliknya memberi peluang terlebih dahulu untuk kedua-dua watak utama berkembang sebelum “membaling” mereka kepada masalah-masalah ini. Namun, ia tidaklah dilakukan secara mengejut, sebaliknya setiap episod ada perkara kecil yang dilakukan yang masuk akal apabila didedahkan kemudian, masalah ini juga ada masa hadir daripada tempat yang saya tidak jangkakan, namun ada masa ia menjadikan penceritaan sedikit mengelirukan.
Dengan kebanyakan perkara yang berlaku terasa satu tindak balas sahaja berbanding perancangan yang seperti saya katakan sebelum ini memberi perwatakan yang baik kepada Imogen, akan tetapi untuk penceritaan secara umumnya ia terasa bercelaru dan bukan sesuatu yang baik, terutama untuk siri yang berkait dengan Agensi Risikan, beberapa bahagian sama ada memberikan perasaan yang mereka adalah amatur, dan ada juga bahagian yang terasa kebetulan ataupun bernasib baik sahaja dengan apa yang berlaku sesuatu yang secara amnya bukan perkara yang baik kisah perisikan.
Akhir kata, The Veil melakukan apa yang ingin dilakukan dengan baik iaitu membawa satu penceritaan mengenai dua watak – Imogen iaitu perisik untuk MI6 dan Adilah seorang pengganas dengan penuh misteri dah helah, penceritaan dikembangkan lagi dengan pelbagai masalah tambahan yang muncul dengan penglibatan pelbagai Agensi Perisikan yang lain. Namun, dengan banyak adegan ataupun permasalahan diselesaikan dengan tindak balas dan bukan perancangan ia mungkin membawa pengalaman yang kurang baik bagi satu siri mengenai perisikan.
The Veil akan mula disiarkan di Disney+ Hotstar pada 30 April 2024. Mengandungi 6 episod yang akan tiba secara mingguan.