Siri Samsung Galaxy A5x terus menjadi penawaran utama untuk telefon pintar kelas pertengahan buat Samsung dengan siri Samsung Galaxy A7x tidak lagi ditawarkan bermula pada tahun lepas. Model terbaru untuk siri ini adalah Samsung Galaxy A55 yang sudah ditawarkan di Malaysia pada bulan lepas. Saya baru sahaja berpeluang untuk mencuba sendiri Samsung Galaxy A55 ini dan berikut adalah pandang pertama dengan ulasan penuh akan tiba kemudian.
Samsung Galaxy A55 ditawarkan dengan harga RM1,999 iaitu RM100 lebih mahal berbanding dengan Samsung Galaxy A54 pada tahun lepas, peningkatan harga ini mungkin kerana keadaan mata wang ataupun keadaan pasaran, tetapi juga mungkin disebabkan ia menyertakan beberapa penambah-baikkan berbanding pendahulu, antaranya ia membawa saiz skrin yang lebih besar iaitu 6.6-inci berbanding 6.4-inci tetapi mengekalkan resolusi 1080×2340 yang secara langsungnya menyebabkan ppi lebih rendah iatiu 390 berbanding 403.
Selain daripada itu skrin masih lagi membawa penawaran seperti sebelum ini, iaitu menggunakan panel Super AMOLED, menyokong kadar segar semula sehingga 120Hz, sokongan HDR19+ dan juga tahap keterangan sehingga 1000 nits yang bagi saya cukup baik terutama untuk telefon kelas pertengahan dan yang sudah biasa dengan paparan oleh Samsung, ia masih lagi antara terbaik di dalam pasaran sekarang dengan lawannya mungkin hanya telefon mercu Samsung sendiri. Ia juga mengekalkan saiz bateri iaitu 5,000 mAh dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 25W.
Telefon ini masih mengekalkan penggunaan cip pemprosesan Exynos, dengan menggunakan model terbaru iaitu Exynos 1480 yang mempunyai clock speed yang lebih tinggi iaitu 2.75 GHz berbanding 2.4 GHz yang di atas kertas sepatutnya memberikan prestasi lebih kurang 20% lebih tinggi untuk melakukan kerja-kerja berat termasuk juga bermain permainan video. Ini ditambah lagi dengan Exynos 1480 menggunakan GPU Samsung Xclipse 530 yang mempunyai frequency 1300MHz berbanding 950 MHz untuk Mali-G68 MP5 yang digunakan oleh Exynos 1380.
Saya sudah mencuba untuk bermain beberapa permainan mudah alih seperti Honkai: Star Rail, Marvel Snap dan juga Diablo Immortal dan kesemua permainan ini boleh dimainkan dengan baik dengan tetapan secara pertengahan kecuali Marvel Snap yang saya gunakan dengan tetapan tertinggi tanpa sebarang masalah, manakala Diablo Immortal saya tidak boleh memilih tetapan yang lebih tinggi kerana dihadkan oleh permainan sendiri. Saya akan menguji dengan lebih mendalam dan akan kongsi ketika ulasan penuh kelak.
Satu lagi perkara yang boleh dikatakan memberi sebab mengapa harga dinaikkan adalah ia kini hadir dengan pilihan RAM sehingga 12GB berbanding 8GB sahaja sebelum ini yang bagi saya sudah tiba masanya kerana, 12GB RAM merupakan keperluan minimal jika ingin menjadikan telefon pintar mempunyai pengalaman yang terbaik untuk bermain permainan mudah alih. Bagi storan dalaman pula, tiada perubahan dengan ia menyertakan storan 256GB yang bagi saya agak rendah tetapi dengan telefon ini juga menyertakan sokongan mikroSD sehingga 1TB ia bukan satu kekurangan yang besar.
Berbanding menggunakan rangka plastik yang boleh dikatakan sebagai kebiasaan untuk telefon kelas pertengahan, Samsung Galaxy A55 juga kini dibina dengan rangka aluminium yang memberikan kualiti binaan yang lebih baik dan bagi saya menjadikannya lebih mudah untuk dipegang dan digunakan walaupun menggunakan sebelah tangan. Ia juga masih mengekalkan piawaian IP67 yang memberikan ketahanan debu dan juga air dengan kedalaman 1 meter untuk 30 minit.
Selain spesifikasi dan juga binaan, Samsung juga membawa teknologi Samsung Knox Vault buat pertama kali yang memberikan pelbagai fungsi keselamatan seperti melindungi data pengguna jika telefon dicuri ataupun hilang dengan ia juga menyertakan pelindungan untuk melawan serangan perkakasan (hardware attack). Selain itu, ia juga menyertakan pelbagai fungsi keselamatan yang lain seperti menghalang pemasangan aplikasi yang berbahaya, mengetahui no telefon yang terlibat dengan penipuan, penyulitan data dan Secure Folder.
Samsung Galaxy A55 sudah ditawarkan dengan harga RM1,999 dengan tiga pilihan warna iaitu Awesome IceBlue (model yang digunakan oleh saya, Awesome Lilac, dan Awesome Navy.