EA telah berkongsi maklumat lanjut untuk EA Sports F1 24 yang pertama kali diumumkan pada akhir bulan Februari lepas. Antara yang dikongsi adalah teknologi baharu yang diperkenalkan di dalam permainan ini iaitu EA Sports Dynamic Handling dan juga kemaskini untuk mod karier yang dikatakan mod kegemaran pemain permainan ini.

Mereka juga berkongsi treler baharu yang anda boleh tonton di bawah.

Menurut EA, teknologi baharu iaitu EA Sports Dynamic Handling dibangunkan secara dekat bersama dengan Max Verstappen yang juga merupakan pelumba di muka depan, juara dunia dan secara sendirinya merupakan seorang pemain permainan video terutama perlumbaan simulasi.

Teknologi ini memberi pengalaman baharu kepada pemain di dalam mengawal kereta dengan sasaran untuk menjadikannya lebih realistik dan juga prestasi yang diharapkan. Teknologi ini juga mementingkan bahagian-bahagian lain daripada kereta F1 seperti suspension, tayar, aerodinamik, tetapan enjin, tetapan kereta dan pelbagai lagi untuk memberi lebih kawalan kepada pemain.

Selain itu, buat pertama kali untuk mod karier pemain boleh memilih untuk menjadi mana-mana pemandu sebenar F1 berbanding menggunakan pelumba penghasilan sendiri. Pemain juga boleh memilih pelumba dari F2 dan juga ikon di dalam F1.

EA Sports F1 24 akan dilancarkan pada 31 Mei 2024 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, dan PC melalui EA App, Epic Games Store dan Steam.

Sohor Kini