Skip to main content

Panic telah mengumumkan yang selepas setahun dilancarkan, Catalog iaitu gedung permainan untuk konsol Playdate telah menjual 150 ribu permainan yang menyumbang $544 ribu kepada pembangun yang menawarkan permainan mereka.

Mereka juga mengumumkan yang Catalog kini mempunyai 181 permainan dengan secara purata harga permainan adalah $5.36. Selain itu, turut dinyatakan yang USA, UK, Jerman, Kanada dan Jepun negara yang melakukan pembelian tertinggi.

Catalog pertama kali dilancarkan pada 7 Mac 2023 iaitu lebih kurang setahun selepas konsol Playdate mula diedarkan kepada pelanggan. Ia menjadi gedung utama untuk mendapatkan permainan Playdate bersama dengan itch.io yang mempunyai lebih 800 permainan dan aplikasi untuk konsol tersebut.

Panic juga mengatakan yang setakat ini, 70 ribu Playdate telah terjual dengan 53% atau 38 ribu pemilik Playdate telah melakukan transaksi di Catalog.

Playdate sudah ditawarkan di Malaysia dengan harga $199 (~RM951) ataupun $219 (~RM1046) bersama dengan Cover dan Cover juga boleh dibeli secara berasingan dengan harga $29 (~RM138). Anda boleh melakukan tempahan melalui pautan ini dengan penghantaran dijangka mengambil masa 2 hingga 4 minggu.

Anda boleh baca ulasan kami di pautan berikut – Ulasan Playdate.

Leave a Reply