Apple Arcade telah mengumumkan tiga permainan baharu akan menyertai perkhidmatan tersebut bermula bulan Mei ini. Tiga permainan yang disertakan adalah A Slight Chance of Sawblades+ iaitu permainan oleh Yong kian Chin, pembangun dari Singapura. Selain itu, Dicey Dungeons+ dan Summer Pop+.
Permainan-permainan ini akan mula disertakan pada 2 Mei 2024.
A Slight Chance of Sawblades+ merupakan permainan platforming retro 2D yang bukan sahaja menarik untuk pemain kasual, tetapi juga untuk pemain yang inginkan cabaran dan bersaing dengan pemain-pemain lain melalui leaderboard.
Dicey Dungeons+ merupakan permainan membina dek dengan elemen rogue-like dengan tatamain memfokuskan kepada membaling dadu dengan setiap sesi akan memberikan pengalaman serta keputusan yang berbeza.
Summer Pop+ pula khusus untuk pemain yang menyukai permainan match-three, dengan terdapat ratusan peringkat yang boleh diselesaikan di dalam permainan ini. Permainan ini dibangunkan oleh Happy Elements dan sudah dilancarkan untuk telefon pintar sebelum ini.
Apple Arcade ditawarkan dengan harga RM29.90 yang boleh dikongsi dengan 5 orang keluarga, ia juga boleh diperoleh melalui langganan Apple One yang juga menyertakan Apple Music dan Apple TV+ dengan harga RM34.90 untuk pelan individu, RM44.90 untuk pelan keluarga, dan RM84.90 untuk Premier yang turut menyertakan Apple Fitness+