Blood Free merupakan siri baharu dari Korea Selatan yang akan disiarkan di Disney+ Hotstar, siri ini melibatkan senarai pelakon seperti Ju Ji-hoon sebagai Woo Chaewoon, Han Hyo-joo sebagai Yun Jayu, Lee Hee-joon, Lee Moo-saeng dan Park Ji-yeon. Lee Soo-yeon merupakan penulis, manakala Park Chul-hwan menjadi pengarah dan diterbitkan oleh Ace Factory bersama H& Entertainment.
Saya telah berpeluang untuk menonton dua episod pertama dan boleh katakan yang siri ini bermula dengan sangat baik, bukan sahaja membawa penceritaan fiksyen sains, tetapi juga diadunkan bersama dengan politik dan juga misteri yang sentiasa membuatkan saya tertanya-tanya mengenai motif sebenar sesuatu watak dan juga mengenai apa yang sedang berlaku.
Dua episod ini memberi pengenalan kepada syarikat yang digelar sebagai BF ataupun Blood Free iaitu syarikat bioteknologi yang fokus mereka adalah untuk menghentikan ke bergantungan manusia kepada binatang, mereka bermula dengan menghasilkan kulit haiwan tiruan untuk digunakan di pakaian, kemudian produk terbaru yang juga paling berjaya adalah daging yang dihasilkan di dalam makmal.
Kejayaan BF ini tidak berlaku tanpa tentangan, mereka terutama pengasas dan CEO BF iaitu Yun Ja-yu lakonan Han Hyo-joo telah menjadi sasaran penunjuk perasaan terutama yang terlibat di dalam perniagaan ternakan. Satu yang pada awalnya bermula dengan penunjuk perasaan di jalanan berubah menjadi lebih ganas termasuk juga ada kes cubaan bunuh dan bunuh diri. Bagi menjamin keselamatan Yun Ja-yu, BF telah mengupah Woo Chae-woon lakonan Ju Ji-hoon yang merupakan bekas tentera untuk menjadi pengawal peribadi.
Tanpa disedari (mungkin disedari?) oleh Yun Ja-yu, Woo Chae-woon menerima tugas untuk menjadi pengawal peribadi agar dia dapat menyiasat mengenai penglibatan Yun Ja-yu di dalam satu pengeboman yang menyebabkan Presiden Korea Selatan terpaksa meletakkan jawatan yang secara langsung memberi peluang kepada syarikat BF untuk berkembang dengan pesat. Pengeboman tersebut juga telah mengorbankan beberapa orang tentera di bawah Woo Chae-woon, oleh itu ia juga bersifat peribadi.
Di dalam dua episod ini agak sukar untuk meneka sama ada Yun Ja-yu terlibat ataupun tidak, ini ditambah lagi dengan lakonan yang baik oleh Han Hyo-joo yang ada masa memperlihatkan wataknya sebagai seorang yang sangat berkeupayaan untuk melakukan perkara tersebut dan ada masa dia juga kelihatan tidak bersalah dan merupakan seorang ahli perniagaan biasa sahaja.
Tidak cukup dengan misteri tersebut, penceritaan kemudian juga melibatkan penggodam yang melakukan serangan perisian tebusan data-data penting BF. Perkara tersebut yang kelihatan biasa, kemudian menjadi lebih rumit apabila Woo Chae-woon yang pernah mengalami masalah yang sama semasa beliau seorang tentera mendapati yang penggodam tersebut mungkin dilakukan oleh orang dalaman BF.
Kepelbagaian misteri ini menjadi perkara menarik utama bagi dua episod untuk Blood Free, dan selepas dua episod ini, masih sukar untuk mengatakan siapa yang terlibat, siapa yang tidak seperti yang dijangkakan, apa motif sebenar yang berlaku, bahkan saya juga tidak mengetahui apa yang akan menjadi fokus utama di dalam siri ini. Oleh kerana itu, saya boleh katakan yang Blood Free bermula dengan baik dan berpotensi untuk menjadi satu lagi siri Korea yang penuh dengan ‘twist and turn‘.
Dengan Yun Ja-yu dan Woo Chae-woon merupakan dua watak utama bagi siri ini, turut tercetus persoalan mengenai bagaimana perhubungan di antara mereka berdua akan berlaku, tambahan pada itu walaupun baru dua episod, dinamik di antara mereka berdua sudah diperlihatkan dengan cukup baik dan berpotensi untuk menjadi sauh bagi siri ini.
Blood Free akan disiarkan di Disney+ Hotstar, ia akan menyertakan 10 episod dengan setiap episod akan tiba secara mingguan.