Winking Studios iaitu studio khidmat luaran (outsourcing) untuk seni dan juga pembangunan permainan video telah mengumumkan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengambil-alih Pixelline iaitu studio dari Malaysia yang juga memfokuskan kepada khidmat luaran.
Perbincangan masih dilakukan dengan mereka cuba mencapai kata sepakat yang boleh dipersetujui oleh pihak Winking dan juga pihak Pixelline. Pengumuman lanjut mengenai perkara ini akan diumumkan kemudian.
Pixelline ditubuhkan pada tahun 2013 dan telah terlibat dengan perkhidmatan menghasilkan filem animasi, siri TV dan juga pengiklanan. Antara hasil kerja mereka adalah siri animasi Talking Tom and Friends, DoReMi Dalimi, dan Ghost Force.
Winking Studios merupakan antara studio khidmat luaran terbesar di Asia dan mempunyai lebih 800 pekerja dengan cawangan bertempat di Singapura, Shanghai, Nanjing, Taipei dan Hong Kong. Mereka baru-baru ini mengambil-alih On Point Creative iaitu studio dari Taiwan.