Skip to main content

The First Omen berada di dalam keadaan yang agak janggal, siri filem Omen popular dan juga diminati oleh penggemar genre seram kerana perkara yang dilakukan oleh Damien (watak utama bagi kesemua siri filem Omen) ataupun perkara yang dilakukan untuk mempertahankan Damien, oleh itu The First Omen iaitu filem yang memfokuskan kepada kejadian sebelum lahirnya Damien sudah kekurangan perkara yang penting di dalam siri filem ini. Arkasha Stevenson selaku pengarah dan juga penulis bersama dengan Tim Smith dan Keith Thomas berdasarkan cerita oleh Ben Jacoby perlu mencari sesuatu untuk mengisi bahagian Damien tersebut.

Mereka melakukannya dengan membawa sekumpulan paderi yang ingin memastikan terlahirnya Antichrist yang melalui filem The Omen yang dikeluarkan pada 1976 ataupun versi Remake yang dikeluarkan pada tahun 2006 kita ketahui ia adalah seorang bayi yang dinamakan sebagai Damien. Selain daripada sekumpulan paderi tersebut, terdapat juga seorang paderi iaitu Father Brennan lakonan Ralph Ineson yang cuba menyiasat mengenai kumpulan tersebut. Father Brennan cuba mendapatkan bantuan daripada Margaret Daino lakonan Nell Tiger Free yang berhajat untuk menjadi biarawati dan bekerja di rumah anak yatim gereja yang menjadi tempat utama untuk kumpulan tersebut. Namun, tanpa disedari oleh Margaret Daino dan juga Father Brennan, mereka lebih dekat terlibat di dalam penghasilan Antichrist tersebut.

Pembawaan misteri mengenai kumpulan tersebut, penglibatan Margaret Daino bersama dengan seorang kanak-kanak iaitu Carlita Skianna lakonan Nicole Sorace menjadi elemen penting di dalam filem ini. Bahkan agar sukar untuk saya mengatakan yang ini merupakan filem seram, sebaliknya ia lebih kepada thriller dan juga misteri. Saya lebih menyamakan filem ini dengan filem seperti The Da Vinci Code berbanding siri filem The Omen. Mungkin kerana Arkasha Stevenson tidak ingin mengecewakan penonton yang mengikuti siri filem asal untuk The Omen, elemen kematian dahsyat ataupun elemen seram masih disertakan yang bagi saya tidak dilakukan dengan baik kerana ia terasa janggal dengan bahagian lain filem ini, ada masa ia juga menjadikan penceritaan bercelaru. Oleh itu, jika anda peminat siri filem The Omen, filem ini tidak akan menjadi seperti anda jangkakan, ia membawa penceritaan yang sedikit berlainan.

Selain tiadanya Damien, filem ini juga mempunyai ‘kekurangan’ bagi yang sudah mengikut siri filem The Omen, pengakhiran The First Omen sepatutnya sudah jelas. Sebarang misteri yang cuba disampaikan, secara amnya sudah diketahui keputusannya, oleh itu sebarang misteri yang cuba disampaikan perlu menjadi misteri termasuk juga penonton yang sudah mengetahui apa yang berlaku. Bagi bahagian ini, saya boleh katakan ia dilakukan dengan baik, masih terdapat beberapa misteri ataupun kejutan yang saya tidak jangkakan, walaupun kebanyakannya sesuatu yang mudah untuk diteka sebelum dinyatakan jawapan misteri tersebut. Tambahan pada itu, saya juga boleh katakan yang filem ini berakhir dengan agak berlainan daripada apa yang saya jangkakan, dan ia juga mencipta satu pertanyaan penting adakah ini satu filem prekuel ataupun reboot?

Sama ada ia merupakan prekuel ataupun reboot, filem ini masih berlaku pada tahun 1970-an dan filem ini berjaya menyampaikan latar masa serta persekitaran yang boleh dipercayai berlaku pada zaman tersebut. Ini termasuklah bagaimana rumah anak yatim kelihatan, bandar Roma yang menjadi latar tempat utama untuk filem ini, perubatan dan juga perkara-perkara lain yang benar-benar memberikan gambaran zaman itu – saya bukanlah lahir pada zaman tersebut, tetapi jika anda menonton The First Omen dan diteruskan dengan The Omen, ia masih memperlihatkan satu penerusan dan tidak terasa terlalu janggal di-antara dua filem tersebut.

Seperti saya nyatakan di atas, sebagai filem yang lahir daripada siri The Omen, bahagian seram ataupun pembunuhan kejam perlu disertakan, dan filem ini ada menyertakannya. Namun, ia bukanlah disertakan dengan baik, kebanyakan pembubuhan ataupun kematian walaupun nampak menggerunkan, tetapi ia terasa tidak diperlukan bahkan ada yang berlaku tidak benar-benar dijelaskan mengapa ia berlaku. Kebanyakan jumpscare pula lebih kepada mainan minda ataupun sergahan daripada orang lain yang terasa murah ataupun cheap shot untuk membuatkan saya terkejut. Satu perkara yang baik saya boleh katakan lakonan Nell Tiger Free yang baik benar-benar membawa perasaan terkejut dan juga menakutkan di beberapa bahagian.

Akhir kata, jika anda mengharapkan filem seram ataupun pembunuhan kejam seperti siri filem The Omen yang lain, The First Omen bukanlah filem tersebut. Filem ini lebih kepada misteri thriller, ala The Da Vinci Code berbanding mengikuti filem asal The Omen. Bahagian misteri disampaikan dengan menarik tetapi bahagian seram mengecewakan dan terasa murahan. Ia masih satu filem yang menarik dan mungkin akan mencipta persoalan baharu untuk yang mengikuti siri filem ini.

The First Omen mula ditayangkan pada 4 April 2024

The First Omen
Jika anda mengharapkan filem seram ataupun pembunuhan kejam seperti siri filem The Omen yang lain, The First Omen bukanlah filem tersebut. Filem ini lebih kepada misteri thriller, ala The Da Vinci Code berbanding mengikuti filem asal The Omen.
Positif
Misteri Disampaikan Dengan Menarik
Lakonan Yang Baik Terutama Nell Tiger Free
Negatif
Bahagian Seram Terasa Janggal Dan Murahan
Sesetengah Bahagian Terasa Bercelaru
7

Leave a Reply