12 tahun telah berlalu sejak Capcom melancarkan Dragon’s Dogma, salah satu permainan video yang sering diberi gelaran underrated gem. Pada setiap tahun selepas pelancaran tersebut, saya sendiri melihat perbincangan tentang permainan ini menjadi lebih meriah di alam maya. Jelas sekali, semakin ramai orang menjadi peminat Dragon’s Dogma kerana tatamainnya yang begitu berbeza daripada RPG fantasi lain. Ia sering dipuji sebagai permainan yang pelik tetapi amat menyeronokkan dan nampaknya sentimen ini masih dikekalkan dalam sekuelnya.
Saya telah meluangkan lebih kurang 35 jam dalam Dragon’s Dogma 2. Jalan cerita utama hanya memerlukan sekitar 20 jam tetapi tempoh yang pendek ini bukan satu kekurangan. Tarikan utama permainan ini adalah dunia fantasinya yang begitu luas, cantik, dan penuh dengan pelbagai raksasa yang bahaya. Oleh sebab itu, saya banyak menghabiskan masa menyiapkan Side Quest dan meneroka dunia terbuka. Terdapat juga New Game Plus yang membenarkan kita untuk mulakan semula jalan cerita utama tetapi perkembangan aspek seperti Level dan Item akan dikekalkan daripada playthrough sebelumnya.
Dragon’s Dogma 2 boleh dikatakan sebuah RPG dunia terbuka yang mempunyai sistem-sistem pertempuran yang amat mendalam. Apabila mencipta watak pemain anda, empat Vocation (mudah kata, kelas) asas boleh dipilih iaitu Fighter, Archer, Thief, dan Mage. Secara keseluruhannya, terdapat 10 Vocations! Dalam aspek ini sahaja Dragon’s Dogma 2 mula menunjukkan taringnya dalam bidang rekaan tatamain. Gaya permainan untuk setiap Vocation bukan hanya terletak pada senjata yang dipilih. Apabila bermain sebagai Mage, saya bukan sahaja menyeru kilat untuk menyambar penjahat, malah saya juga memberi sokongan kepada ahli-ahli parti melalui buff seperti meningkatkan kelajuan pergerakan. Apabila meningkat Level dan memperoleh Skills baru, saya berkemampuan untuk terapung (bukan terbang) selama beberapa saat. Ini membolehkan saya mencapai Treasure Chest yang terletak di tempat tinggi dan ahli parti lain tidak perlu mencari cara untuk memanjat tempat tersebut.
Kebolehan untuk menukar Vocation pada bila-bila masa sememangnya satu kebebasan yang dihargai. Setelah berjam-jam membiasakan diri dengan gaya permainan Mage, saya bertukar menjadi Fighter pula. Perancangan dan pengaturan pertempuran saya berubah 100% kerana Skills seorang Fighter bukan sahaja menjurus ke arah peranan sebagai penarik perhatian penjahat, malah saya juga boleh menggunakan perisai untuk melonjakkan ahli parti untuk melompat dengan lebih tinggi. Daripada seorang Mage yang berdiri di barisan belakang, taktik saya berubah dan saya memikul tanggungjawab sebagai batu loncatan untuk Thief menikam mata seekor Cyclops!
Apabila menyebut tentang “ahli-ahli parti”, saya bukan bercakap tentang pemain-pemain lain. Dragon’s Dogma 2 mempunyai sistem multi-pemain yang amat unik di mana parti kita dianggotai Pawns. Pawn merupakan watak bantuan yang dicipta oleh setiap pemain, termasuk diri kita, untuk menjadi rakan sehidup semati. Kita sendiri hanya boleh mencipta seorang Pawn dan parti boleh diisikan dengan dua Pawn lain yang dicipta oleh pemain-pemain lain. Mekanik ini memperkenalkan satu lagi lapisan dalam tatamain permainan ini.
Sebelum keluar dari kampung atau bandar untuk melakukan Quest, saya mengambil masa untuk mengupah Pawns yang mempunyai Vocation dan Skills yang sesuai dengan watak saya. Jika saya seorang Archer yang mampu memanah tepat mana-mana musuh dan Pawn utama saya pula seorang Fighter yang bakal menjadi sasaran utama penjahat, maka saya akan mencari Mage yang boleh menyokong kami dengan Skills rawatan dan buff. Mudah kata, tiada Pawn dan Vocation yang tidak berguna. Kekuatan mereka terletak pada kebolehan kita untuk merancang peranan mereka dalam parti.
Selain daripada menjadi ahli-ahli parti yang berguna, Pawns ialah salah satu sumber hiburan yang buat saya tertawa berkali-kali. Para pemain Dragon’s Dogma 2 yang lain telah mencipta pelbagai Pawns yang wajah seiras watak permainan, anime, atau filem. Saya pernah bertemu Pawn Beastren (kaum humanoid bermuka kucing) yang gempal dan berbulu oren yang diberikan nama Garfield. Jika anda pernah bermain Dark Arisen, anda semestinya terbiasa melihat Pawn Warrior yang meniru rupa dan kelengkapan Guts dari manga Berserk. Jangan risau, klon Guts masih ramai dalam Dragon’s Dogma 2.
Malangnya, Dragon’s Dogma 2 juga mengekalkan satu perkara yang saya tidak gemari daripada prekuelnya iaitu jalan cerita utama yang membosankan. Mungkin perasaan saya dicemari oleh memori bermain Dark Arisen lebih daripada lima kali tetapi saya amat kecewa dengan penceritaan sekuel ini kerana aliran penceritaan hampir sama dengan permainan pertama! Sejujurnya, saya kerap mengeluarkan ketawa tunggal “hah!” selepas satu jam pertama bermain kerana sudah boleh meramalkan segala yang akan berlaku dalam jalan cerita utama. Jika anda belum pernah bermain Dark Arisen atau Dragon’s Dogma yang asal, mungkin kelemahan jalan cerita ini kurang dirasa.
Pengarah Dragon’s Dogma dan sekuel yang baru ini, Hideaki Itsuno pernah berkata dalam satu temu ramah bahawa pembangunan Dragon’s Dogma agak mencabar kerana pada waktu itu Capcom tidak berpengalaman mencipta sebuah dunia terbuka. Jelas sekali beliau dan pasukan pembangun di Capcom telah menambah-baik proses ini kerana dunia terbuka dalam Dragon’s Dogma 2 adalah antara persekitaran permainan yang terbaik pernah saya terokai.
Tidak kira sama ada anda meredah hutan di sekitar bandar fantasi zaman pertengahan Vernworth atau mengharungi padang pasir negara asal kaum Beastren iaitu Battahl, anda sentiasa disajikan pemandangan cantik yang disokong kualiti grafik hebat. Setiap tekstur dimodelkan dengan begitu terperinci sehingga anda dapat mengira setiap sisik naga yang menyerang secara tiba-tiba. Sistem kitaran siang-malam juga menambah perisa kerana waktu malam diselubungi kegelapan yang realistik. Kalau terlupa membawa bahan api untuk lantera, anda perlu bersedia untuk dikalahkan oleh raksasa waktu malam yang lebih bahaya berbanding raksasa waktu pagi.
Dunia terbuka Dragon’s Dogma 2 bukan sahaja wujud sebagai pencuci mata. Ia merupakan satu persekitaran yang sangat bahaya dan sukar untuk diramal. Saya pernah keluar untuk menyiapkan satu Quest mudah tetapi diserang seekor Griffin. Malangnya pada waktu tersebut saya tidak membawa banyak makanan untuk merawat diri dan Pawns. Kami berjaya mengalahkannya tetapi salah seorang Pawn dalam parti terkorban kerana ditolak oleh Griffin ke dalam laut (tiada mekanik renang dalam permainan ini). Tidak sampai 5 minit berlalu selepas Griffin tersebut mati, seekor naga besar menjunam turun dan mula menyerang kami. Pendek cerita, saya dan semua Pawns terkorban dan tidak sempat melarikan diri dan saya terpaksa Load dari Save sebelum pertemuan dengan Griffin.
Pertemuan dengan musuh-musuh yang kuat secara rawak dan tiba-tiba sebenarnya perkara yang biasa dalam dunia Dragon’s Dogma 2. Saya bertukar cerita dengan kawan-kawan lain dan mereka juga melalui pelbagai adegan dan cabaran yang menarik. Sememangnya mustahil untuk seorang pemain melihat segalanya yang permainan ini ada hanya dengan satu playthrough.
Pada pendapat saya, terdapat satu kelemahan yang wajib diceritakan iaitu masalah teknikal yang dihadapi permainan ini. Semasa bermain Dragon’s Dogma 2, boleh dikatakan saya tidak langsung melihat permainan ini mencecah kadar bingkai 60FPS yang stabil. Saya agak terkejut apabila mendapat tahu permainan ini dilancarkan tanpa pilihan antara tetapan grafik Performance atau Quality. Perkara ini sedikit mengecewakan kerana permainan yang penuh dengan aksi seperti ini akan rasa lebih lancar jika boleh dimain pada 60FPS. Betul-betul sebelum saya menulis ulasan ini, Capcom melancarkan Patch 1.05 yang membenarkan beberapa pilihan tetapan seperti Ray-Tracking On/Off dan Max 30FPS. Saya hanya sempat mencuba tetapan-tetapan baru ini sekejap sahaja, oleh itu saya tidak mampu memberi pendapat tentangnya.
Walaupun ia berkongsi banyak persamaan dengan permainan pertama, Dragon’s Dogma 2 tetap sebuah sekuel yang hebat. Bukan itu sahaja, saya berpendapat ia antara permainan fantasi terbaik yang dikeluarkan pada generasi ini. Dari kawasan bandar yang dipenuhi NPC hingga ke gua gelap yang dipasang perangkap oleh goblin, dunia terbuka ini sungguh seronok untuk diterokai kerana ia menawarkan pelbagai cabaran yang tidak disangka dan pada waktu yang sama, ia sungguh cantik untuk dilihat. Seperti yang saya ungkapkan pada permulaan ulasan ini, saya ialah seorang peminat Dragon’s Dogma yang menghabiskan permainan pertama berkali-kali selama bertahun-tahun. Pada tahun-tahun yang akan datang, saya tidak sabar untuk mengkhatam Dragon’s Dogma 2 berulang kali pula.
Burhan Zamri merupakan penulis freelance dan juga peminat tegar Bloodborne yang masih menunggukan versi dengan kadar bingkai yang lancar dan stabil. Boleh mengikut Burhan di X – @burhanplays.