Skip to main content

Ghostbusters: Frozen Empire filem susulan untuk Ghostbusters: Afterlife cuba melakukan banyak perkara dan cuba menjadi pelbagai benda berlainan merupakan kelemahan utama bagi filem ini yang pada asasnya mempunyai satu penceritaan yang menarik dan boleh menjadi menyeronokkan untuk peminat ataupun pengikut baharu bagi siri filem Ghostbusters. Filem ini diarahkan oleh Gil Kenan yang juga merupakan penulis bersama dengan Jason Reitman iaitu pengarah untuk filem pertama. Paul Rudd, Carrie Coon, Finn Wolfhard dan McKenna Grace antara pelakon yang kembali membawa watak mereka daripada filem sebelum ini.

Frozen Empire berlaku tiga tahun selepas filem Afterlife, di mana sekeluarga Spengler yang turut disertai oleh Gary Grooberson telah berpindah ke New York City dan kembali menjadi Ghostbusters di bandar tersebut. Mereka perlu melawan dengan Garraka iaitu hantu yang mempunyai kuasa untuk menjadikan keseluruhan kawasan menjadi sejuk beku. Filem ini juga melibatkan kumpulan asal Ghostbusters iaitu Peter Venkman lakonan Bill Murray, Raymond Stantz lakonan Dan Aykroyd, Winston Zeddemore lakonan Ernie Hudson dan Janine Melnitz lakonan Annie Potts.

Filem ini cuba membawa kisah mengenai pemburuan hantu pada masa yang sama cuba membawa kisah kekeluargaan terutama memfokuskan kepada watak Phoebe Spengler yang bagi saya menjadi seakan-akan punching bag di dalam filem ini, pertama dengan dia disingkirkan kerana terlalu muda, kemudian dikatakan tidak mendengar teguran dan pelbagai lagi yang bagi saya sangat aneh jika melihat apa yang berlaku di dalam filem ini tidak memberi justifikasi layanan yang diterima. Di dalam filem Afterlife, Phoebe merupakan watak kegemaran saya oleh itu agak mengecewakan dengan penglibatannya di dalam filem ini.

Tambahan pada itu, filem ini juga cuba membawa kembali watak-watak Ghostbusters yang sebelum ini. Ia merupakan satu perkara yang baik, akan tetapi oleh kerana penglibatan mereka agak bercelaru ia menjadi kurang menarik. Ada masa ia terasa nostalgia dan menjadi perkara yang disukai oleh yang sudah mengikuti siri filem ini, tetapi pada masa yang sama ia sedikit mengganggu kelancaran penyampaian bagi filem ini. Saya juga merasakan yang mereka tidak pasti untuk melibatkan mereka dengan lebih lagi ataupun ingin memfokuskan kepada watak-watak baharu. Selain itu, filem ini juga kurang menjadi di dalam pengenalan watak baharu antaranya Nadeem Razmaadi lakonan Kumail Nanjiani yang secara mengejut menjadi antara watak yang penting.

Tone filem ini juga agak mengelirukan, ada masa mereka ingin menjadi satu filem yang perlu diambil serious, ada masa ia terasa sebagai satu filem yang lebih ringan dan sekadar jenaka sahaja. Perkara ini jugalah menjadi kesan kepada watak jahat utama di dalam filem ini yang terasa tidak bersesuaian dengan tone secara umum bagi filem ini. Ia masih satu watak jahat yang menggerunkan, tetapi bagaimana penglibatannya selepas itu, terasa tidak menyeluruh dan kurang memberi impak kepada keseluruhan filem ini.

Tiga masalah utama yang saya nyatakan menjadi antara yang mengganggu pengalaman saya menonton filem ini, akan tetapi pada masa yang sama, saya masih mempunyai masa yang baik menontonnya. Ada masa adegan disampaikan dengan baik, bahagian komedi yang membuatkan saya tertawa, kisah kekeluargaan yang menyentuh hati dan perlawanan dengan hantu yang menarik. Oleh itu, saya boleh katakan ia satu filem yang masih seronok untuk ditonton tetapi jika berharap satu penceritaan yang baik, ia akan mengecewakan.

Akhir kata, Ghostbusters: Frozen Empire kurang menjadi di dalam penyampaian penceritaan mereka. Perkara ini banyak terkesan daripada bagaimana drama ataupun permasalahan disampaikan, kecelaruan di dalam penggunaan watak-watak di dalamnya dan juga masalah untuk mengekalkan tone yang konsisten, namun ia masih satu filem yang seronok untuk ditonton kerana ada adegan yang menjadi, jenaka yang melucukan dan juga penyampaian emosi yang berkesan, cuma secara keseluruhannya masih mengecewakan terutama dibandingkan dengan filem sebelum ini.

Ghostbusters: Frozen Empire ditayangkan pada 11 April 2024

Ghostbusters: Frozen Empire
Ghostbusters: Frozen Empire kurang menjadi di dalam penyampaian penceritaan mereka. Perkara ini banyak terkesan daripada bagaimana drama ataupun permasalahan disampaikan, kecelaruan di dalam penggunaan watak-watak di dalamnya dan juga masalah untuk mengekalkan tone yang konsisten, namun ia masih satu filem yang seronok untuk ditonton kerana ada adegan yang menjadi, jenaka yang melucukan dan juga penyampaian emosi yang berkesan.
Positif
Adegan melawan hantu yang menarik
Ada jenaka yang menjadi
Negatif
Watak Phoebe menjadi kurang menarik
Terlalu ramai watak menjadi bercelaru
Tone yang tidak konsisten
7

Leave a Reply