Ulasan Helldivers 2

Selepas kemuncak esukan kebanyakan permainan-permainan multi-pemain baharu yang dilancarkan memfokuskan kepada tatamain kompetitif, yang saya secara peribadinya tidak berapa menyukai kerana ingin bermain dengan perasaan tenang dan tanpa perasaan rasa bersalah apabila gagal membantu pasukan untuk memenangi sesuatu. Manakala Helldivers 2 membawa semula perkara-perkara yang membuatkan saya dapat meluangkan masa yang lama bermain secara dalam talian, kerana permainan ini berbanding memfokuskan kepada kompetitif, ia lebih kepada having fun bersama dengan orang lain tanpa terlalu risaukan ingin menang ataupun ingin menjadi yang terhebat.

Loop permainan Helldivers 2 secara ringkasnya adalah membawa demokrasi ke dunia, atau dengan lebih terperinci pemain perlu memilih beberapa kawasan untuk melakukan misi-misi yang diberikan oleh Super Earth, antara misi yang diberikan adalah misi ringkas seperti “Terminate Illegal Brodcast” sehinggalah yang sukar seperti Destroy Command Bunkers, setiap misi juga boleh diselesaikan dengan cepat. Kesemua misi mempunyai limit masa 40 minit, tetapi semasa sesi saya bermain secara puratannya lebih kurang 10 minit sahaja. Jumlah masa yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu misi juga bergantung kepada saya ingin melakukan misi sampingan ataupun tidak.

Jumlah masa yang pendek diambil untuk menyelesaikan satu misi ini yang menjadikan penarik utama bagi saya untuk membuka permainan ini, melakukan beberapa misi dan mengulanginya pada hari yang berlainan. Permainan ini menyertakan beberapa kemajuan antaranya Battle Pass yang boleh menjadikan setiap sesi mempunyai ganjaran tersendiri, tambahan itu Battle pass ini diberikan percuma dan juga tidak mempunyai had masa yang menjadikan saya tidak perlu tergesa-gesa untuk mendapatkannya dan tidak akan terasa terlepas apa-apa ganjaran. Ada disertakan Battle Pass versi berbayar, akan tetapi dengan bermain, anda juga boleh mengurangkan kos untuk membelinya.

Sesi permainan secara sendirinya juga ringkas tetapi menarik, walaupun melakukan misi yang lebih kurang sahaja pada setiap sesi, akan tetapi tiada misi yang terasa sama kerana ada sahaja perkara lain yang berlaku. Ini benar semasa bermain bersama dengan rakan dan juga apabila bermain dengan pemain secara rawak, tetapi sudah semestinya bergantung kepada ‘perangai’ pemain yang saya jumpai. Namun, berbanding dengan permainan-permainan lain, saya boleh katakan Helldivers 2 mempunyai komuniti yang sangat positif, tidak kira semasa saya mula bermain dengan mereka membantu saya untuk belajar mengenai permainan ini.

Masalah kebiasaannya yang saya alami, pemain keluar dan masa semasa pertengahan permainan, ia juga mungkin kerana masalah sambungan kerana saya sendiri ada berlaku, terkeluar daripada sesi bermain semasa bermain tanpa sebab yang jelas. Selain daripada itu, lebih kepada pemain yang ingin menghabiskan sesuatu dengan cepat, semasa saya ingin melakukan beberapa misi sampingan terlebih dahulu, akan tetapi dengan cara kemajuan permainan ini, sebenarnya adalah lebih baik untuk memfokuskan kepada misi utama sahaja, tanpa terlalu memikirkan perkara sampingan kerana ganjaran yang diberikan adalah lebih lagi.

Pertempuran di dalam Helldivers 2 bagi saya yang utamannya adalah penjahat sama ada Terminids ataupun Automatons mereka akan hadir dengan jumlah yang ramai ataupun dengan mempunyai senjata yang pelbagai. Anda bersama dengan rakan sepasukan perlu menggunakan senjata api, bom dan juga Stratagem iaitu senjata tambahan yang boleh digunakan sepanjang permainan tetapi mempunyai cooldown. Sebelum bermula setiap misi, saya boleh memilih untuk membawa mana-mana senjata yang saya rasakan bersesuaian dengan misi tersebut, anda juga boleh melihat senjata yang di bawa oleh rakan sepasukan untuk mendapat loadout yang terbaik. Secara jujurnya, saya biasannya menggunakan senjata yang saya ingin cuba tanpa terlalu memikir panjang. Pilihan senjata dan Stratagem ini juga yang menjadikan setiap sesi permainan terasa berlainan walaupun mempunyai misi asa yang sama.

Satu perkara yang saya boleh katakan, permainan ini boleh dimainkan secara solo tetapi saya sangat tidak galakkan. Keunikan permainan ini, selain daripada peta dan misi yang pelbagai, adalah apa yang dilakukan oleh pemain-pemain lain, ada sahaja perkara yang rawak berlaku, ditambah lagi dengan friendly fire tidak boleh ditutup, di dalam keadaan yang ada masa menjadi sangat kucar kacir, ada sahaja kesilapan berlaku. Namun, kesilapan ini bukan perkara yang menjengkelkan sebaliknya ia menjadi sesi permainan tersebut terasa berlainan dan saya sentiasa gelak tawa sahaja apabila berlaku. Ia lebih seronok lagi jika bermain bersama dengan rakan-rakan. Semasa saya cuba untuk bermain secara solo, saya menjadi lebih cepat bosan permainan ini.

Akhir kata, Helldivers 2 merupakan permainan multi-pemain yang mementingkan keseronokan bermain berbanding ingin menjadi terhebat ataupun mendapat ganjaran. Walaupun permainan ini agak pemurah di dalam memberikan ganjaran selepas setiap misi, tetapi bagi saya ia adalah sesuatu yang nice to have dengan keseronokan bermain menjadi tarikan utama. Oleh kerana itu, sesi bermain bersama dengan rakan ataupun dengan pemain lain secara rawak adalah terbaik kerana sesi permainan secara solo agak membosankan kerana ia menjadikan misi dan peta terasa berulang yang jika bermain dengan pemain lain, tiada misi yang terasa berulang kerana ada sahaja perkara yang unik dan berlainan berlaku.

Helldivers 2 sudah dilancarkan pada 8 Februari 2024 untuk PlayStation 5 dan PC.

Helldivers 2
Helldivers 2 merupakan satu permainan multi-pemain yang lebih mementingkan untuk berseronok bermain berbanding sekadar mendapat ganjaran ataupun ingin menjadi terbaik. Tidak terlalu memfokuskan kepada elemen kompetitif dan juga tatamain yang menarik menjadikan ia permainan yang seronok untuk dimainkan terutama bersama rakan.
Positif
Tatamain Yang Menyeronokkan
Sesi multi-pemain yang sentiasa berlainan
Ganjaran yang pelbagai
Negatif
Bosan untuk dimainkan secara solo
Misi dan kawasan terasa berulang
8

Sohor Kini