5 Permainan Menarik Minggu Ini (25 – 31 Mac)

Selepas minggu yang ‘sibuk’ pada minggu lepas, dengan terdapat pelbagai permainan menarik dilancarkan dalam masa yang dekat, minggu ini yang juga minggu terakhir untuk bulan Mac ini lebih perlahan tetapi masih mempunyai beberapa permainan yang menarik.

Berikut adalah 5 permainan menarik yang akan tiba minggu ini:

Palia

Platform: PC

Palia merupakan permainan simulasi kehidupan yang juga menyertakan elemen MMO. Ia dibangunkan oleh Singularity Six dan akan tiba untuk PC pada 25 Mac 2024 ini sebagai permainan penuh dengan ia tiba secara beta terbuka sebelum ini. Palia juga sudah dilancarkan untuk Nintendo Switch pada akhir tahun lepas.

The Last Case of Benedict Fox

Platform: PlayStation 5

Permainan metroidvania oleh Plot Twist dan diterbitkan oleh Rogue Games sudah dilancarkan sejak tahun lepas untuk Xbox dan juga PC. Pada 26 Mac ini, Definitive Edition akan dilancarkan untuk PlayStation 5 manakala pemilik di Xbox Series dan PC akan menerima kemaskini ini secara percuma yang menyertakan prestasi grafik yang lebih baik dan juga pelbagai penambahan yang lain.

South Park: Snow Day!

Platform: PlayStation 5, Xbox Series, Nintendo Switch, PC

South Park: Snow Day! merupakan permainan aksi pengembaraan berdasarkan siri animasi South Park. Berlainan dengan permainan yang dibangunkan oleh Ubisoft, permainan ini menyertakan grafik 3D berbanding 2D, pertempuran juga tidak lagi mengikut turutan. Permainan ini boleh dimainkan secara solo dan juga secara koperasi.

Farming Simulator Kids

Platform: Nintendo Switch, iOS dan Android

Giants Software iaitu pembangun untuk permainan simulasi berkebun Farming Simulator telah hadir dengan permainan terbaru yang memfokuskan kepada kanak-kanak. Berbanding permainan simulasi, Farming Simulator Kids menawarkan tatamain yang memfokuskan kepada pengenalan untuk berkebun dengan cara yang menyeronokkan bagi kanak-kanak dan juga secara umum.

Open Roads

Platform: PlayStation, Xbox, Nintendo Switch, PC

Permainan filem interaktif ini dibangunkan oleh Open Roads Team dan diterbitkan oleh Annapurna Interactive. Permainan ini memfokuskan kepada penceritaan mengenai Opal iaitu ibu tunggal bersama dengan anak perempuannya Tess di dalam pengembaraan yang menjadi lebih daripada mereka inginkan. Permainan ini akan menyertakan pelbagai pilihan dialog kepada pemain yang akan memberikan penceritaan yang berbeza.

Sohor Kini