Ulasan Rise of the Ronin

Seperti yang anda baca daripada Pandang Pertama saya ataupun daripada media-media lain, Rise of the Ronin merupakan kombinasi beberapa permainan sebelum ini di dalam satu, antara permainan yang saya boleh katakan Assassin’s Creed, Ghost of Tsushima, serta permainan oleh Team Ninja sendiri seperti Nioh dan Wo Long: Fallen Dynasty. Saya sudah meluangkan masa lebih 50 jam bermain Rise of the Ronin dan boleh rumuskan yang ia adalah satu permainan yang saya tidak rasa terbazir untuk luangkan masa, bahkan saya juga bercadang untuk kembali bermain bagi menyelesaikan sebilangan lagi perkara yang boleh dilakukan. Namun, permainan ini juga mempunyai masalah pertembungan di antara tatamain dan penceritaan, sebuah permainan video dan penceritaan kisah sejarah.

Rise of the Ronin boleh dikatakan hadir pada waktu yang sangat tepat, pada akhir bulan lepas, saya baru sahaja mengeluarkan ulasan mengenai Shogun iaitu siri TV di Disney+ Hotstar yang merupakan kisah sebelum yang mengambil inspirasi daripada kisah bagaimana Tokugawa Ieyasu menjadi pemerintah Shogun pertama di Jepun dan bermulanya Tokugawa Shogunate, manakala permainan ini pula memfokuskan kepada hari-hari terakhir Tokugawa Shogunate. Oleh itu, keinginan saya ingin belajar mengenai sejarah Jepun ini adalah tinggi dan permainan ini tidak mengecewakan. Kebanyakan watak yang saya jumpa di dalam permainan ini adalah berdasarkan watak-watak sejarah walaupun penceritaan mereka ada yang diubah ataupun diringkaskan, tetapi ia masih boleh menjadi permulaan untuk mengisi rasa ingin tahu saya.

Antara penambahan yang disertakan di dalam permainan ini ialah watak yang saya kawal dan juga seorang watak yang pada awalnya merupakan “Blade Twin” iaitu rakan sepasukan tetapi berpisah di awal permainan dengan masing-masing membawa haluan berbeza tetapi memainkan peranan penting di dalam peperangan saudara di antara Pro-Shogunate dan Anti-Shogunate yang memainkan peranan penting di dalam sejarah Jepun. Bagi saya penyampaian dilakukan dengan sangat, cuma masalah bagi saya adalah permainan ini cuba untuk meletakkan watak saya di antara kedua-dua pihak tersebut, walaupun saya diberikan pilihan tetapi pilihan tersebut lebih bersifat tatamain dan bukan mengenai penceritaan. Oleh itu, ia tidak memberi kesan seperti yang saya inginkan.

Meletakkan watak saya di pelbagai pihak membantu untuk saya memahami kisah disebalik kedua-dua bahagian, akan tetapi ia juga membuatkan penceritaan sedikit bercelaru dan impak penceritaan terasa kurang menjadi. Ini ditambah lagi, saya juga sedang mengikut kisah mengenai “Blade Twin”. Walaupun, pengakhiran permainan ini masih memberi perasaan puas dan dapat mengetahui serba sedikit mengenai kisah sejarah ini, akan tetapi saya lebih berharap yang saya boleh memilih pihak mana yang saya ingin fokus pada awal permainan, dan penceritaan disampaikan berdasarkan pilihan awal itu. Jika saya ingin mengetahui mengenai kisah di pihak yang berlainan, saya mungkin boleh lakukannya melalui NG+ ataupun sekadar memulakan kemajuan yang baharu. Dengan cara ini, penceritaan boleh disampaikan dengan lebih fokus dan saya merasakan lebih mudah untuk memberi impak.

Saya juga faham mengapa Team Ninja memilih untuk menjadikannya seperti ini, kerana tatamain Rise of the Ronin memerlukannya. Selain melakukan misi-misi utama, permainan ini turut menyertakan pelbagai perkara sampingan seperti Bond, perhubungan saya dengan watak-watak lain, dan ia melibatkan watak daripada semua pihak, sebahagian kawasan juga mempunyai Faction Strength yang menentukan pihak mana mengawal kawasan tersebut. Kedua-dua perkara ini sepenuhnya bersifat tatamain sahaja, ia tidak membawa sebarang perbezaan kepada penceritaan. Walaupun, ia nampak seperti berkait kerana perhubungan dan juga siapa yang mengawal kawasan mana adalah perkara penting di dalam peperangan, tetapi permainan ini sekadar menjadikannya tatamain sahaja.

Ia bukan masalah besar, tidak sebesar masalah yang timbul melalui kecelaruan penceritaan, tambahan pada itu, hadirnya perkara seperti Bond dan Faction Strength juga menjadi pengisi yang baik untuk saya meluangkan masa yang lebih lama bermain. Contohnya, jika memenuhi Bond dengan sesetengah watak, ia bukan sahaja memberi ganjaran tetapi pemain juga kemudian boleh mempunyai perhubungan romantik dengan mereka. Namun, sekali lagi, ia sekadar tatamain sahaja dan akan mendapat adegan tambahan dan tidak mengikut kemajuan permainan sebaliknya bersifat once-off sahaja. Ia masih menarik untuk dilakukan kerana mereka mempunyai kisah tersendiri. Pilihan dialog di dalam permainan ini juga lebih bersifat tatamain berbanding memberi kesan kepada penceritaan.

Selain daripada Bond dan Faction Strength, saya juga boleh melakukan pelbagai aktiviti lain seperti mencari kucing, Shirne serta Landmark, mengambil gambar kawasan-kawasan menarik, mencari Treasure Chest, membebaskan sesuatu kawasan daripada penjahat dan juga mencari orang yang dikehendaki. Kesemua aktiviti ini adalah ringkas untuk dilakukan, walaupun hadir dengan jumlah yang banyak akan tetapi melakukannya tidak membosankan terutama saya boleh menyelitkan dengan misi-misi lain seperti Misi Utama, Misi Bond, Misi ‘Grass Roots’, Scene of Interest’, yang setiapnya mempunyai penceritaan tersendiri selain memberikan ganjaran untuk menyelesaikannya. Melakukan misi ini juga tidak terasa membosankan kerana cara traversal yang disediakan adalah baik, terdapat banyak tempat untuk fast travel, ada kuda walaupun animasi agak melucukan, dan cara yang paling saya gemari menggunakan glider.

Mempunyai perhubungan dengan lebih ramai watak juga memberikan saya lebih pilihan untuk rakan sepasukan semasa melakukan misi-misi tertentu, kebiasaannya misi utama. Sebelum saya memulakan misi tersebut, saya terlebih dahulu boleh memilih 2 rakan sepasukan untuk menemani, mereka boleh dipilih daripada pelbagai watak yang saya jumpa. Tambahan pada itu, selepas memulakan misi, saya juga boleh memilih untuk mengawal sepenuhnya watak tersebut, ini memberi saya peluang untuk mencuba senjata dan juga gaya-gaya pertempuran yang berlainan tanpa perlu melakukan perubahan kepada watak saya sendiri. Bercakap mengenai misi utama, ada juga sedikit masalah dari segi rekaan misi kerana permainan ini memberi kelebihan kepada tatamain ataupun ingin jadikan ini permainan video. Contohnya ada misi yang saya sekadar perlu menghantar surat untuk berdamai, tetapi terpaksa melawan tanpa sebab yang kukuh, yang bagi saya menjejaskan maksud surat yang saya bawa tersebut – semata-mata untuk memberikan pertempuran di dalam misi tersebut.

Pertempuran masih mengekalkan elemen sukar daripada permainan Team Ninja sebelum ini seperti Wu Kong dan Nioh, akan tetapi dengan perbezaan permainan ini mempunyai pilihan tahap kesukaran iaitu Dawn, Dusk dan Twilight. Jika inginkan cabaran Twilight adalah pilihan anda, saya menggunakan Dusk dan ia masih cukup mencabar tetapi masih memberi peluang kepada saya untuk melakukan kesilapan demi kesilapan tanpa perlu bermula semula. Jika ingin lebih cabaran, selepas menghabiskan permainan ini buat kali pertama, pemain juga kemudian boleh memilih kesukaran Midnight yang akan menjadikan sesi permainan lebih sukar tetapi berpeluang untuk mendapatkan peralatan senjata dan perisai yang lebih berkuasa.

Rise of the Ronin mementingkan “timing” di dalam pertempuran, sama ada untuk menyerang ataupun bertahan, terutamanya bertahan melalui fungsi yang digelar sebagai Counterspark. Ia adalah gerakan untuk menepis apa sahaja serangan, jika melakukan Counterspark, ia akan mengurangkan Ki ataupun Stamina lawan dan memberi peluang untuk melakukan serangan balas ataupun melakukan sesuatu yang seperti “finisher”. Namun, oleh kerana Counterspark merupakan menepis yang dicampur dengan menyerang, salah melakukan timing Counterspark akan mendedahkan saya kepada serangan lawan. Manakala gerakan seperti menahan dan bergolek juga boleh dilakukan akan tetapi ia akan menggunakan Ki dan pada masa sama tidak memberi peluang untuk melakukan serangan balas.

Rekaan penjahat tidaklah mempunyai perbezaan yang ketara, kerana di dalam permainan ini masih berlawan dengan manusia, tetapi ada watak yang dihasilkan dengan lebih besar. Perbezaan utama adalah jenis-jenis serangan yang mereka lakukan, setiap serangan ini mempunyai kekerapan dan juga ketangkasan yang berlainan. Oleh itu, ia adalah sangat penting untuk melihat terlebih dahulu kombo-kombo serangan yang dilakukan penjahat untuk mendapatkan timing yang terbaik. Saya boleh menggunakan dua senjata utama daripada 8 pilihan dan dua lagi senjata sampingan.

Satu lagi perkara yang penting adalah Combat Style, terdapat beberapa gaya pertempuran yang berbeza boleh digunakan oleh pemain, iaitu Ten, Chi, Jin yang efektif melawan dengan senjata berlainan, menggunakan gaya yang paling efektif akan menjadikan penjahat lebih stagger, satu lagi gaya adalah Shinobi yang tidak efektif melawan mana-mana senjata tetapi jika melakukan Counterspark dengan timing yang terbaik akan memberi kesan stagger yang lebih. Setiap senjata boleh mempunyai 3 gaya berbeza, dan boleh ditukar pada bila-bila masa.

Jika tidak ingin meluangkan masa bertempur, permainan ini juga menyertakan sistem menyelinap ataupun stealth termasuk juga boleh terus membunuh penjahat-penjahat yang lemah tanpa pengetahuan mereka. Ia memuaskan untuk dilakukan akan tetapi penjahat menyedari kehadiran anda ataupun tidak ada masa tidak menentu. Ada masa saya boleh bertempur dan penjahat yang berhampiran tidak menyedari mengenai pertempuran tersebut, tetapi ada masa semasa saya sedang merangkak mereka dapat mendengar ataupun dapat melihat saya. Oleh itu, ia sedikit sukar untuk menjangkakan apa yang berlaku jika anda memfokuskan kepada stealth.

Grafik permainan ini saya boleh katakan seperti pertempuran iaitu mempunyai DNA Team Ninja. Secara amnya, grafik tidaklah kelihatan berkualiti tinggi, tetapi ia mempunyai gaya tersendiri yang menyerlahkan rekaan seni bina dan juga rekaan persekitaran. Permainan ini menyertakan tiga pilihan mod Grafik, iaitu Prioritize FPS, Prioritize Graphics dan juga Ray Tracing, saya menggunakan ketiga-tiga dan saya boleh katakan perbezaan di antara ketiga-tiga daripada segi kualiti grafik tidak terlalu berbeza, yang membuatkan saya memilih FPS sebagai pilihan yang lebih baik. Ray Tracing contohnya saya tidak dapat melihat bahagian mana yang memberi kelebihan menggunakan tetapan ini selain ia mengganggu kelancaran permainan.

Akhir kata, Rise of the Ronin menyertakan tatamain yang cukup menarik untuk saya meluangkan lebih 50 jam bermain bahkan lebih lagi. Walaupun pengisian dunia terbuka kebanyakannya berulang tetapi oleh kerana ia boleh dilakukan dengan cepat, tambahan pada itu, terdapat juga misi-misi lain yang mempunyai penceritaan tersendiri menjadi perantaraan, melakukannya tidak membosankan. Penceritaan adalah baik dengan kebanyakan watak berdasarkan watak-watak daripada sejarah Jepun dengan penceritaan mereka dirungkai dengan baik tetapi menjadi sedikit bercelaru kerana permainan ini cuba untuk meletakkan pemain di semua tempat berbanding memberi pilihan kepada pemain untuk memfokuskan kepada pihak yang mana.

Rise of the Ronin dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 22 Mac 2024.

Rise of the Ronin
Permainan yang baik, boleh meluangkan masa yang lama untuk bermain tanpa rasa bosan akan tetapi penceritaan sedikit bercelaru kerana berlakunya pertembungan di antara tatamain dan penceritaan, sebuah permainan video dan satu penceritaan kisah sejarah.
Positif
Pengisian Dunia Terbuka Yang Baik
Watak-Watak Menarik
Pertempuran Yang Kemas
Negatif
Penceritaan Sedikit Bercelaru
Sesetengah Rekaan Misi Bercanggah Dengan Penceritaan
8

Sohor Kini