Skip to main content

Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes diumumkan sebagai permainan yang spiritual successor kepada siri permainan JRPG klasik iaitu Suikoden, bahkan kedua-dua permainan dihasilkan oleh Yoshitaka Murayama yang menubuhkan Rabbit & Bear Studios bersama Junko Kawano, Osamu Komuta dan Junichi Murakami untuk membangunkan permainan ini. Permainan ini juga boleh dikatakan projek terakhir Yoshitaka Murayama yang meninggal dunia pada bulan lepas. Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes akan dilancarkan secara rasmi pada 23 April 2024, namun saya telah diberikan peluang untuk mencuba 5-6 jam pertama bagi permainan ini untuk pandang pertama ini.

Permainan ini bermula dengan watak utama Nowa yang baru sahaja menyertai The Watch yang boleh dikatakan sebagai ‘polis’ untuk League of Nations iaitu suatu kuasa besar di dalam permainan ini, dengan Galdean Empire adalah satu kuasa besar yang lain. Misi pertama Nowa adalah bersama dengan pasukan tentera daripada Galdean Empire untuk mencari Prime-Rune, iaitu Rune yang dikatakan sangat berkuasa berbanding rune yang lain. Rune digunakan untuk melakukan pelbagai perkara di dalam permainan ini, termasuk juga memberikan kuasa di dalam pertempuran.

Selepas misi tersebut selesai, permainan diteruskan 6 bulan selepas itu, di aman keadaan menjadi semakin tegang di antara League of Nations dan juga Galdean Empire. Namun, dengan The Watch tidak secara terus terlibat dengan politik, Nowa masih lagi melakukan tugasnya seperti biasa, tetapi dengan penceritaan bergerak Nowa mula menyedari mengenai perkara dan juga sedar yang suka ataupun tidak dia akan terlibat dengannya. Saya boleh katakan penceritaan bermula dengan baik untuk awal ini, dan ia membuatkan saya sangat tertarik untuk mengetahui selanjutnya.

Bahagian utama yang permainan ini ambil daripada Suikoden adalah saya boleh merekrut lebih daripada 100 watak untuk digunakan di dalam pertempuran. Kebanyakan watak ini tidak semestinya akan dijumpai oleh saya, di dalam salah satu misi awal untuk permainan ini, saya perlu mencari sesiapa yang ingin menyertai The Watch dan tiada sebarang penanda, ataupun lokasi yang diberitahu untuk saya melakukannya, saya sekadar perlu bergerak daripada satu tempat ke satu tempat untuk mencari jika ada yang berminat menyertai saya.

Pada sesi ini, saya menjumpai 4 watak tambahan menyertai 4 watak yang disertakan daripada awal lagi termasuk Nowa. Berdasarkan panduan yang diberikan, saya sepatutnya dapat mencari 7 watak tambahan, tetapi saya tidak menjumpai tiga lagi watak sekurang-kurangnya untuk pertama kali saya bermain. Jumlah ini adalah kecil sahaja berbanding 100 yang disertakan, dengan setiap watak ini bukan sahaja mempunyai keunikan rekaan dan gaya pertempuran, tetapi mereka juga mempunyai penceritaan tersendiri. Mencari mereka semua sudah semestinya menjadi sasaran utama apabila permainan penuh dikeluarkan kelak.

Pada satu masa, saya boleh menggunakan 6 watak sahaja di dalam pertempuran, oleh itu saya perlu memilih untuk membawa siapa di dalam pasukan. Pada awal permainan ini, tiga watak iaitu Nowa, Garr dan Lian wajib disertakan di dalam pasukan, akan tetapi mereka tidak diwajibkan untuk terlibat di dalam pertempuran, sebaliknya mereka boleh diletakkan di dalam “Attendant” yang sekadar mengikut pasukan tetapi tidak terlibat secara terus, mereka tidak akan bertempur dan tidak akan mendapat mata pengalaman untuk meningkatkan tahap.

Bercakap mengenai tahap, hanya 6 yang terlibat dengan pertempuran sahaja yang akan mendapat mata pengalaman, oleh itu, yang jarang diguna akan ketinggalan tahap, namun jika anda meletakkan watak yang tahap rendah, mereka akan mendapat mata pengalaman dengan lebih banyak berbanding watak lain. Ini memudahkan untuk memastikan setiap watak mempunyai tahap yang lebih kurang, jika ia sesuatu yang anda ingin lakukan. Sesi awal ini saya meningkatkan tahap untuk semua watak, tetapi pada permainan penuh saya mungkin hanya memilih beberapa watak kegemaran sahaja. Sesiapa yang ada di dalam pasukan hanya boleh dilakukan kawasan tertentu sahaja dan tidak boleh dilakukan pada setiap masa.

Pertempuran pula adalah seperti permainan klasik JRPG dengan mengikut turutan, namun berbanding saya memilih gerakan mengikut giliran, saya akan menetapkan gerakan untuk semua watak tidak mengambil kira siapa yang akan melakukan gerakan, ini akan memerlukan saya untuk melihat siapa yang akan melakukan gerakan terlebih dahulu untuk memastikan, jika saya perlu menggunakan item seperti healing, saya melakukan menggunakan watak yang bergerak lebih awal terutama jika penjahat akan menyerang di antaranya. Mekanik menarik lain adalah Hero Combo, yang akan melakukan serangan dua watak serentak, dan juga Gimmick iaitu satu mekanik tambahan yang khusus untuk pertempuran itu sahaja.

Pada awal ini, saya menyukai pertempuran yang disertakan, dan tidak mempunyai banyak masalah kecuali pertempuran semasa mengembara adalah secara rawak, dengan anda tidak dapat melihat jika ada penjahat ataupun tidak, saya tidak menyukainya tetapi sepanjang saya bermain saya boleh katakan pertempuran adalah tidak kerap. Seterusnya saya juga tidak menyukai yang tempat melakukan simpanan tidak akan menyembuh, meningkat tahap juga akan terus mengekalkan keadaan sedia ada, ini akan membuatkan penggunaan item dan spell sangat penting terutama semasa melalui kawasan yang panjang. Saya juga boleh memilih untuk menggunakan auto-combat, dan saya boleh menetapkan untuk apa yang dilakukan oleh setiap watak semasa auto-combat ini berdasarkan beberapa perimeter yang boleh ditetapkan.

Saya juga menyukai grafik permainan ini, kebanyakan kawasan dihasilkan dengan rekaan-rekaan yang pelbagai dengan persekitaran kelihatan hidup. Ia bukanlah permainan dengan grafik realistik, tetapi gabungan 3D dan 2D dilakukan dengan sangat baik. Dialog juga dilakukan dengan menarik, ia menggunakan dialog bubble tetapi kesemua watak mempunyai lakonan suara termasuk juga NPC. Oleh kerana saya lebih menyukai untuk mendengar dialog berbanding membaca, ini adalah perkara yang sangat baik. Permainan ini juga menggunakan wajah yang terpapar di sebelah dialog untuk memperlihatkan reaksi yang mungkin tidak jelas di model watak, yang bagi saya dilakukan dengan baik.

Sebagai permainan JRPG, saya juga boleh menetapkan pelbagai lagi perkara untuk setiap watak seperti menukar jenis Rune yang digunakan untuk setiap watak, dengan rune tambahan boleh digunakan apabila mencapai tahap tertentu. Sedikit perkara yang saya tidak suka mengenainya adalah rune yang boleh ditukar di kedai yang berkait dan tidak boleh dilakukan pada bila-bila sahaja. Bagi saya ia adalah terlalu mengehadkan untuk saya mencuba binaan yang berbeza dari semasa ke semasa. Saya juga boleh membeli perisai untuk menguatkan lagi watak dan meningkatkan tahap senjata. Pada sesi awal ini, saya boleh katakan tidak sukar untuk mendapat duit, dan dengan terdapat butang auto-equip, ia lebih memudahkan untuk mengurus apabila anda mempunyai lebih banyak watak.

Akhir kata, selepas 6 jam bermain Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes ini, saya boleh katakan makin teruja untuk mencuba permainan penuh. Penceritaan bermula dengan baik dan dengan setiap watak mempunyai lakonan suara pengalaman untuknya menjadi bertambah baik. Pertempuran adalah seperti dijangkakan dengan beberapa kelainan yang menarik, grafik juga baik dengan mengekalkan elemen klasik tetapi jelas mempunyai ciri-ciri moden juga. Ia adalah satu permainan yang mempunyai potensi yang besar untuk menjadi antara permainan JRPG ‘klasik’.

Eiyuden Chronicle: Hundred Heroes akan dilancarkan pada 23 April 2024 untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC.

Leave a Reply