Steam telah mengumumkan Steam Families iaitu fungsi yang tiba melalui Steam Beta Client bermula hari ini. Ia merupakan fungsi yang menggabungkan Steam Family Sharing dan juga Steam Family View di dalam satu tempat.

Melalui fungsi terbaru ini, akaun Steam utama boleh menjemput sehingga 5 ahli keluarga untuk menyertai Steam Families dan fungsi ini boleh dikawal-selia melalui Steam Client, aplikasi dan juga pelayar web.

Setiap ahli keluarga yang menyertai Steam Families akan terus mendapat perpustakaan permainan daripada akaun utama dan juga akaun-akaun lain di dalam keluarga namun terhad kepada permainan yang menyokong fungsi ini sahaja.

Ahli keluarga yang bermain mana-mana permainan akan bermain menggunakan akaun sendiri oleh itu mereka akan mempunyai fail simpanan berlainan dan juga akan mendapat pencapaian tersendiri.

Pada satu masa, seorang ahli sahaja boleh bermain sesuatu permainan, akan tetapi semua ahli boleh bermain permainan berlainan pada masa yang sama. Jika terdapat lebih daripada 2 akaun yang memiliki permainan sama, permainan tersebut juga boleh dimainkan oleh 2 akaun atau lebih pada masa yang sama.

Akaun utama juga boleh menetapkan jenis akaun untuk ahli keluarga iaitu Adult atau Child, akaun untuk kanak-kanak boleh dihadkan akses mereka seperti hanya dapat mengakses permainan yang bersesuaian, had akses kepada Steam Store dan juga menetapkan had tempoh bermain. Akaun kanak-kanak juga boleh melakukan pembelian tetapi mesti mendapat kebenaran daripada ibu bapa ataupun akaun utama.

Buat masa ini tidak diumumkan lagi bila fungsi ini akan tiba untuk semua, akan tetapi jika anda ingin mencuba hari ini, boleh sertai Steam Beta, anda boleh layari penulisan di blog Steam untuk maklumat lanjut.

Sohor Kini