HBO Go telah mengumumkan yang filem adaptasi baharu untuk novel oleh Stephen King iaitu Salem’s Lot yang dikeluarkan pada 1975 akan tiba di perkhidmatan tersebut sekitar tahun ini, menandakan ia tidak akan ditayangkan di pawagam terlebih dahulu.

Filem ini sepatutnya tiba pada tahun 2022 lagi, tetapi ditunda akibat pandemik Covid-19, kemudian dijadualkan untuk tiba pada tahun lepas sehinggalah pengumuman terbaru ini.

Salem’s Lot adalah mengenai Ben Mears yang merupakan seorang penulis kembali ke kampung halamannya Jerusalem’s Lot, Main untuk mencari inspirasi bagi buku baharu tetapi dia mendapati yang kampung tersebut sedang dihantui oleh vampire.

Senarai pelakon untuk filem ini ialah Lewis Pullman sebagai Ben Mears, Alfre Woodard sebagai Dr. Cody, Makenzi Leigh sebagai Susan Norton, Bill Camp sebagai Matthew Burke, Spencer Treat Clark sebagai Mike Ryerson, Pilou Asbaek sebagai Straker, dan John Benjamin Hickey sebagai Father Callahan.

Gary Dauberman merupakan pengarah, penulis dan juga penerbit eksekutif.

HBO Go boleh dilanggan dengan harga RM23.30/sebulan, ia juga boleh didapati bersama dengan langganan Astro dan juga Unifi TV.

Sohor Kini