Rise of the Ronin adalah permainan seterusnya oleh Team Ninja yang akan diterbitkan secara eksklusif untuk PlayStation 5 pada 22 Mac 2024. Permainan ini memfokuskan kepada kejadian yang membawa kepada Boshin War iaitu peperangan saudara yang berlaku di Jepun pada tahun 1868 sehingga 1869 di antara Tokugawa Shogunate dan juga sekumpulan pemberontak yang dikatakan berjuang di atas nama Imperial Court. Kami telah berkesempatan untuk mencuba lebih kurang 2 jam pertama permainan ini, dan berikut adalah pandang pertama untuk Rise of the Ronin.

Permainan ini bermula dengan pemain boleh menghasilkan dua watak yang mengikut penceritaan merupakan adik beradik kembar, saya boleh memilih untuk menghasilkan watak lelaki dan perempuan ataupun sama jantina. Penceritaan bermula dengan kampung kedua-dua mereka telah diserang dan hampir terbunuh tetapi diselamatkan oleh watak bernama Bladesmith yang merupakan sebahagian daripada Veiled Edge iaitu sekumpulan pahlawan rahsia di bawah Kurosu yang menentang Shogunate. Kedua-dua kembar kemudian di latih untuk menjadi Veiled Edge, akan tetapi selepas satu kejadian, mereka terpisah, dan salah seorang daripada watak yang boleh dipilih oleh pemain sendiri telah menghilangkan diri dan meninggalkan seorang lagi watak yang akan dikawal oleh pemain untuk mencari kembarnya.
Pada 2 jam pertama, sudah diperlihatkan premis penceritaan yang menarik, terutama berkait dengan pihak Shogunate dan juga pihak penentang, namun penyampaian bagi saya sedikit bercelaru terutama bahagian awal. Pembukaan terasa terlalu cepat, dan pengakhiran untuk pembukaan ini sepatutnya menjadi permulaan kepada pengembaraan pemain, sebaliknya terasa sangat mendatar dan kurang menarik. Saya berharap penceritaan selepas ini akan menjadi lebih baik kerana seperti saya katakan, permainan ini sudah mempunyai premis penceritaan yang sangat menarik.

Permainan ini menyertakan 8 pilihan senjata, seperti Katana, Lembing, Dua bilah pedang, Odachi dan beberapa lagi. Setiap senjata ini mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, dan walaupun pada awal permainan mengikut pilihan pemain, dinyatakan yang senjata mana lebih berkesan akan tetapi di dalam permainan, saya boleh menggunakan mana-mana senjata dan mempertingkatkan tahap sebaiknya mengikut pilihan saya. Oleh itu, pilihan awal untuk senjata tidaklah memainkan peranan yang besar kerana pemain masih terbuka untuk membina watak dengan cara yang berlainan. Bersama dengan senjata utama, terdapat juga senjata sampingan seperti Shuriken, Rifle dan Panah. Kombinasi berlainan ini dapat menjadikan pertempuran menjadi unik mengikut pemain, selain itu setiap senjata juga mempunyai kebolehan tersendiri yang boleh ditingkatkan tahap.
Bagi pertempuran pula, saya meluangkan masa 2 jam menggunakan Katana dan saya boleh katakan yang ia adalah seperti permainan Team Ninja sebelum ini, terutama Wu Kong. Pertempuran bukan satu pertempuran yang pantas ataupun penuh aksi, sebaliknya ia lebih mementingkan untuk saya menyerang pada waktu yang tepat, dan mengelak daripada serangan penjahat dengan baik. Jika saya cuba untuk meneruskan serangan tanpa henti, stamina akan menjadi kosong dan pemain akan tidak boleh bergerak yang membuka ruang untuk penjahat menyerang. Perkara yang menjadi sangat penting untuk pertempuran adalah “Counterspark” iaitu untuk memesongkan serangan penjahat dengan menekan butang khususnya pada waktu yang tepat ia boleh mengakibatkan mereka panik dan membuka ruang untuk melakukan serangan balas.

Selain Counterspark pemain juga boleh bertahan ataupun mengelak, tetapi serangan yang mempunyai aura merah pemain yang boleh mengelak ataupun menggunakan Counterspark sahaja. Counterspark dan serangan juga akan bergantung kepada gaya pertempuran yang dibahagikan kepada tiga iaitu Ten, Chi dan Jin. Saya boleh menukar gaya pertempuran ini pada bila-bila masa, akan tetapi untuk 2 jam pertama ini saya tidak mempunyai akses kepada gaya pertempuran yang berlainan, sebaliknya saya boleh menukar kepada menggunakan watak lain.
Bercakap mengenai watak lain, di dalam permainan ini, saya akan menjumpai beberapa NPC yang kemudiannya boleh menjadi rakan dan mengikut misi tertentu, NPC ini juga mungkin bermula sebagai musuh, tetapi melalui pilihan yang saya boleh lakukan mereka akan menjadi rakan. Saya boleh memanggil mereka untuk membantu di dalam misi tertentu, bantuan mereka agak kecil tetapi mencukupi untuk mencuri tumpuan penjahat, tetapi cara terbaik untuk menggunakan mereka adalah dengan mengawal secara sendiri. Semasa di dalam pertempuran, saya boleh memilih untuk mengawal rakan, ini berguna jika gaya pertempuran saya tidak berkesan melawan penjahat dan saya boleh menukar kepada rakan yang mempunyai gaya pertempuran yang lebih baik.

Saya hanya boleh memanggil mereka untuk misi-misi utama sahaja, dan jika tidak ingin menggunakan mereka saya juga boleh membuka sesi koperasi untuk bermain bersama rakan ataupun membuka lobi untuk mencari pembantu secara rawak. Saya menyukai sistem ini, walaupun saya tidak sempat mencubanya lagi, cuma untuk beberapa misi awal, ia terlalu ringkas dan pendek oleh itu jika bermain secara koperasi ia tidak akan memberikan kepuasan. Misi-misi yang lebih ke-depan mungkin lebih lama ataupun sukar untuk menjadikan sesi koperasi lebih menarik.
Jika tidak ingin meluangkan masa bertempur, permainan ini juga menyertakan sistem menyelinap ataupun stealth termasuk juga boleh terus membunuh penjahat-penjahat yang lemah tanpa pengetahuan mereka. Ia memuaskan untuk dilakukan akan tetapi penjahat menyedari kehadiran anda ataupun tidak ada masa tidak menentu. Ada masa saya boleh bertempur dan penjahat yang berhampiran tidak menyedari mengenai pertempuran tersebut, tetapi ada masa semasa saya sedang merangkak mereka dapat mendengar ataupun dapat melihat saya. Oleh itu, ia sedikit sukar untuk menjangkakan apa yang berlaku jika anda memfokuskan kepada stealth.

Selain, pertempuran, satu lagi bahagian penting untuk Rise of the Ronin adalah dunia terbuka dan perhubungan dengan watak. Bagi dunia terbuka, permainan ini mempunyai lebih kurang 15 kawasan berbeza, saya setakat ini hanya dapat mengakses beberapa bahagian awal termasuk juga Yokohama, tetapi pemain kemudian boleh memasuki kawasan seperti Kyoto dan Edo. Setiap kawasan ini mempunyai “Bond Level” tersendiri, lebih tinggi Bond Level, lebih banyak aktiviti yang akan diperlihatkan untuk kawasan tersebut. Bond Level boleh ditingkatkan dengan menyelesaikan aktiviti tersebut. Bagi saya, sistem dunia terbuka adalah ringkas, dengan aktiviti kebiasaannya membebaskan sesuatu kawasan daripada penjahat, mencari orang yang dikehendaki ataupun mencari shrine dan kucing tetapi mempunyai struktur yang baik dan membuatkan saya ingin melakukan kesemua aktiviti yang ada. Pergerakan di dalam permainan ini juga baik, terdapat banyak tempat untuk Fast Travel, selain itu pemain boleh menaiki kuda, ataupun berlari tanpa had stamina dan juga boleh berenang, menggunakan grappling dan juga meluncur tetapi ia menggunakan stamina.
Bagi perhubungan watak pula, dari semasa ke semasa, pemain akan menjumpai beberapa watak yang pemain boleh mempunyai perhubungan ataupun Bond, meningkatkan tahap dengan memberi hadiah ataupun melakukan aktiviti bersama, ia boleh memberi pelbagai ganjaran mengikut peringkat termasuk juga gaya pertempuran yang baharu. Sesetengah daripada watak ini boleh di bawa semasa melakukan misi tertentu, manakala yang lain mempunyai aktiviti yang berlainan. Mereka juga akan melawan long house, iaitu tempat tinggal pemain yang juga menjadi tempat untuk pemain mengubah penampilan ataupun menggunakan transmog. Saya juga boleh menghias long house ini dengan pelbagai peralatan dan hiasan.

Grafik permainan ini saya boleh katakan seperti pertempuran iaitu mempunyai DNA Team Ninja. Secara amnya, grafik tidaklah kelihatan berkualiti tinggi, tetapi ia mempunyai gaya tersendiri yang menyerlahkan rekaan seni bina dan juga rekaan persekitaran. Permainan ini menyertakan tiga pilihan mod Grafik, iaitu Prioritize FPS, Prioritize Graphics dan juga Ray Tracing, saya menggunakan ketiga-tiga dan saya boleh katakan perbezaan di antara ketiga-tiga daripada segi kualiti grafik tidak terlalu berbeza, yang membuatkan saya memilih FPS sebagai pilihan yang lebih baik. Ray Tracing contohnya saya tidak dapat melihat bahagian mana yang memberi kelebihan menggunakan tetapan ini selain ia mengganggu kelancaran permainan.
Akhir kata, selepas 2 jam bermain, Rise of the Ronin mempunyai beberapa perkara menarik dan kurang menarik, perkara menarik adalah premis penceritaan akan tetapi buat masa ini penyampaian untuknya terasa sedikit lemah. Sistem pertempuran adalah pelbagai dengan penggunaan senjata berlainan, akan tetapi ia terasa sedikit mendatar kerana terlalu pentingkan pertempuran dengan lebih bertahan. Pengisian dunia terbuka adalah ringkas tetapi oleh kerana strukturnya yang baik, membuatkan saya tidak kisah untuk melakukannya, ia juga mempunyai sistem Bond yang menarik dan saya tidak sabar untuk melihat bagaimana ia dikembangkan lagi.
Rise of the Ronin akan dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 22 Mac 2024.