Epic Games hari ini telah mengumumkan yang Apple membuka semula akaun pembangun mereka selepas ditutup sebelum ini, mereka juga mengatakan ini adalah satu isyarat yang memperlihatkan kesatuan Eropah akan bertindak dengan cepat untuk memastikan Digital Markets Act (DMA) dipatuhi oleh semua pihak.
Kami sebelum ini melaporkan yang Apple menutup akaun pembangun Epic Games Sweden AB yang menurut Epic Games akan digunakan untuk membawa Epic Games Store dan Fortnite ke peranti iOS di Eropah. Apple sebelum ini mengatakan yang mereka berhak untuk menutup sebarang akaun oleh Epic Games seperti yang dinyatakan melalui keputusan kes mahkamah sebelum ini.
Buat masa ini, Apple masih tidak mengeluarkan kenyataan mengapa akaun pembangun Epic Games dibuka semula akan tetapi berkemungkinan berkait dengan Kesatuan Eropah mengatakan yang mereka akan menyiasat mengenai penutupan akaun tersebut.