Terdapat 2 sebab untuk saya ternanti-nanti siri TV 3 Body Problem, pertama ia adalah berdasarkan koleksi buku Remembrance of Earth’s Past yang juga dikenali sebagai The Three-Body Problem iaitu judul buku pertama di dalam koleksi ini yang ditulis oleh Liu Cixin. Walaupun saya sendiri tidak pernah membacanya, tetapi saya sering mendengar mengenainya sebagai antara siri buku fiksyen sains yang harus dibaca. Kedua, siri ini dihasilkan oleh Alexander Woo bersama dengan David Benieoff dan D. B. Weiss yang sebelum ini bertanggungjawab untuk menjadikan buku Game of Thrones menjadi siri TV yang masih lagi boleh dianggap paling popular pada masa ini.
Disebabkan oleh kedua-dua perkara inilah saya mempunyai harapan yang sedikit tinggi untuk siri 3 Body Problem menjadi fenomena baharu di dalam penawaran Netflix, namun sedikit mengecewakan ia tidak mencapai jangkaan saya dan merasakan siri ini mempunyai lebih banyak perkara yang negatif berbanding yang positif, walaupun secara keseluruhannya masih lagi satu siri yang boleh mengisi masa anda, cuma jika anda mempunyai harapan seperti saya, saya nasihatkan untuk anda mengurangkan jangkaan tersebut dan jangan berharap ia adalah seperti musim awal Game of Thrones.

Sebelum saya menceritakan mengenai perkara yang kurang baik mengenai siri ini, saya ingin terlebih dahulu berkongsi mengenai apa yang saya suka mengenainya. Antara perkara yang baik mengenai siri ini adalah ia merupakan satu permulaan ataupun pembinaan yang baik buat siri ini, dan ia boleh menjadi sangat berkesan jika menerima tambahan musim dan musim tersebut dilakukan dengan lebih baik. Premis penceritaan adalah menarik yang mempunyai pelbagai cabang penceritaan dengan cabang permasalahan.
Secara ringkasnya, premis siri ini adalah mengenai beberapa orang saintis secara tiba-tiba mula membunuh diri dan perkara ini disiasat oleh Da Shi lakonan Benedict Wong. Misteri ini juga melibatkan lima rakan saintis iaitu Jin Cheng lakonan Jess Hong, Saul Durand lakonan Jovan Adepo, Auggie Salazar lakonan Eiza Gonzales, Jack Rooney lakonan John Bradley dan Will Downing lakonan Alex Sharp, dengan masing-masing mempunyai peranan berbeza untuk dimainkan. Mereka kemudian mendapati yang misteri mengenai apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang biasa, bahkan ia mungkin boleh menjadi pengakhiran kepada kemanusiaan.

Perkara yang positif kedua saya boleh katakan yang setiap watak di bawa dengan baik oleh semua pelakon, enam pelakon di atas dan juga beberapa pelakon lain seperti Liam Cunningham sebagai Wade, Jonathan Pryce sebagai Mike Evans dan terutamanya Marlo Kelly yang membawa watak Tatiana dengan sangat berkesan. Lakonan yang baik ini membantu untuk menyampaikan beberapa bahagian dengan baik, terutama apabila berkait dengan perhubungan mereka sesama sendiri dan juga perhubungan mereka dengan apa yang sedang berlaku pada waktu itu. Kedua-dua perkara ini yang bagi saya menjadikan siri ini masih lagi menarik untuk ditonton walaupun dengan pelbagai permasalahan yang saya akan kongsikan di bawah.
Permasalahan paling besar bagi saya mengenai siri ini, yang menjadi sebab utama saya kurang menyukai daripada sepatutnya adalah siri ini adalah fiksyen sains, pada masa sama ia juga mengenai kemanusiaan. Cubaan untuk mencampurkan kedua-dua perkara ini dilakukan dengan kurang berkesan menjadikan satu bahagian (kemanusiaan) terasa terlalu mendominasi yang menyebabkan satu lagi bahagian (fiksyen sains) kurang dikembangkan. Jika anda melihat mana-mana kisah fiksyen sains, kisah kemanusiaan sentiasa memainkan peranan yang penting, oleh itu masalah mengenainya bukan kerana ia disertakan, akan tetapi ia disertakan dengan terlalu mendesak dan dua bahagian penceritaan bagi siri ini bagaikan satu pasangan yang tidak sepadan.

Masalah utama yang bagi saya menyebabkan kurangnya bahagian fiksyen sains adalah masalah kedua untuk siri ini. Terdapat beberapa penyelesaian yang dilakukan ataupun diperlihatkan, tidak benar-benar menjawab ataupun bersesuaian dengan permasalahan yang cuba diselesaikan. Penyelesaian-penyelesaian berdasarkan teknologi ataupun sains tertentu yang digunakan bukan masalah utama, akan tetapi siri ini gagal ataupun dengan kurang berkesan memberi sebab yang jelas untuk memerlukan penggunaan penyelesaian tersebut. Bagi saya ada masa ia berlaku terlalu melampau, membuatkan adegan tersebut bagaikan memaksa untuk membawa elemen kejutan yang bagi saya mencacatkan pengalaman tontonan.
Masalah ketiga, yang juga berkait dengan perkara yang positif pertama, musim pertama untuk siri ini telah membina penceritaan dengan baik akan tetapi tidak memberi penamat yang memuaskan, ia membuka banyak persoalan tanpa sebarang rumusan yang sekurang-kurang memberikan sesuatu untuk musim ini. Jika Netflix mengumumkan siri ini akan diteruskan untuk beberapa musim lagi, ia sudah semestinya satu berita yang baik, jika tidak, siri ini tidak akan memberi kepuasan untuk tontonan semula. Sekurang-kurangnya, ia mungkin menjadi pengenalan yang baik kepada buku yang menjadi sumber untuk siri ini, walaupun melalui beberapa perkongsian sudah dijelaskan yang siri ini tidak mengadaptasi kesemua perkara daripada buku dengan terdapat beberapa penambahan tersendiri.
Akhir kata, 3 Body Problem tidak mencapai tahap yang saya jangkakan daripada siri ini walaupun melibatkan nama-nama besar di dalam siri TV, ia mempunyai permasalahan yang jelas di dalam pembahagian bahagian kemanusiaan dan juga bahagian fiksyen sains yang menjadikan penceritaan terlalu berat di satu bahagian dan serba sedikit menjejaskan pengalaman tontonan. Namun, pembinaan kisah dan permasalahan yang dilakukan mencukupi dan merupakan satu permulaan yang baik untuk kisah ini dilanjutkan lagi, JIKA, Netflix memilih untuk meneruskan siri ini dan saya berharap mereka akan teruskan dan dapat menambah-baik lagi.
3 Body Problem disiarkan di Netflix bermula 21 Mac 2024.