Skip to main content

3 Body Problem merupakan siri akan datang oleh Netflix, ia merupakan siri yang dihasilkan oleh David Benioff, D. B. Weiss yang bersama menghasilkan siri Game of Thrones untuk HBO dan Alexander Woo berdasarkan novel berjudul sama oleh Liu Cixin. Siri ini dibintangi oleh Benedict Wong, Jess Hong, Eiza Gonzales dan juga dua orang yang kami berkesempatan untuk temubual iaitu John Bradley (JB) yang membawa watak Jack Rooney dan Alex Sharp (AS) yang membawa watak Will Downing di dalam siri ini.

Transkrip untuk temubual ini sudah diterjemah daripada bahasa Inggeris, diubah untuk lebih mudah difahami dan juga mengelak spoiler (jika ada).

Bagaimana anda membuat persedian untuk siri ini? Adakah anda baca buku 3 Body Problem ataupun menonton kandungan sebelum ini berdasarkan judul ini?

JB: Saya membaca buku (3 Body Problem) sebelum membaca skrip untuk filem ini, akan tetapi oleh kerana siri ini bukan mengadaptasi sepenuhnya daripada buku, saya membacanya sekadar untuk memahami perihal sains yang terdapat di dalam judul ini sebaik yang mungkin. Saya merasakan yang jika saya membaca buku ini, saya dapat memahami perkara asas yang menjadi fokus utama di dalam penceritaan dan bukan untuk membantu saya di dalam persediaan untuk membawa watak di dalam siri ini.

John Bradley sebagai Jack Rooney. Netflix © 2024

AS: Saya juga sama (seperti John Bradley) saya membaca buku dan meluangkan masa yang banyak dengan skrip untuk memahami dialog, watak dan perubahan dari segi emosi dan juga psikologi. Saya juga berbincang dengan David, Dan dan Alex (David Benioff, D. B. Weiss, Alexander Woo) untuk memastikan yang saya memahami watak ini seperti yang diinginkan oleh mereka.

Adakah anda ada mencadangkan perubahan kepada watak anda? Seperti menambah perkara yang peribadi?

JB: Davin dan Dan memberitahu kepada saya yang watak saya (Jack Rooney) ditulis khusus untuk saya berdasarkan personaliti saya sendiri. Oleh itu saya mempunyai sedikit kebebasan untuk membawa personaliti saya sendiri semasa membawa watak ini, lebih daripada apa yang pernah lakukan sebelum ini dan juga yang saya akan lakukan di masa hadapan. David dan Dan juga menanyakan kepada saya apa yang perkataan yang akan digunakan oleh seseorang daripada Manchester, dan antara perkataan tersebut adalah “killjoy” yang saya guna di dalam siri ini. Oleh itu, saya merasakan ia satu kolaborasi antara mereka dan saya di dalam memastikan watak saya lebih autentik.

Alex Sharp sebagai Will Downing. Netflix © 2024

AS: Membaca mengenai watak saya daripada buku membantu untuk saya membawa watak ini, akan tetapi adalah lebih penting untuk memberi lebih fokus kepada apa yang diinginkan oleh David, Dan dan Alex dan bagaimana untuk melakukannya berdasarkan bimbingan mereka.

Menurut pendapat anda, apakah perkara utama atau pengajaran yang cuba disampaikan oleh siri ini?

JB: Siri ini melihat “perkara yang asing” dengan lebih kompleks dan nuansa, ia jelas di dalam siri ini dan juga di dalam buku (3 Body Problem). Walaupun sesuatu perkara itu adalah asing tidak semestinya ia adalah satu ancaman ataupun sesuatu yang membuatkan kita di dalam bahaya. Ia membuatkan saya melihat kedudukan manusia di dalam mesta dan di dunia ini dengan pandangan yang berlainan. Oleh itu, bagi saya siri ini banyak memfokuskan kepada manusia dan juga makna di sebalik kehidupan.

(Untuk John Bradley) Bagaimana pengalaman bekerja dengan David Benioff and D.B. Weiss sekali lagi di dalam siri ini?

JB: Semasa mereka memberitahu saya mengenai projek baharu yang akan menyertakan watak untuk saya, ia adalah “Ya” yang paling mudah untuk saya katakan di dalam karier saya. Saya tidak perlu berfikir panjang untuk menerimanya. Sesiapa sahaja yang pernah terlibat dengan mereka tidak kira untuk Game of Thrones ataupun 3 Body Problem, mereka akan mengatakan bekerja dengan David dan Dan adalah sesuatu yang menyeronokkan dan tiada sesiapa yang mempunyai perkara yang tidak baik untuk bercakap mengenai mereka kerana mereka akan membuatkan semua orang berasa yakin, sangat tenang, dan mesra.

Ia sangat menggembirakan untuk saya yang sudah mengenali mereka lebih 10 tahun, untuk melihat pelakon lain seperti Alex dan pelakon lain di dalam siri ini bekerja dengan mereka dan menyukainya. Semua orang bersetuju yang mereka berdua adalah sangat istimewa dan saya boleh katakan saya dimanjakan dengan mereka menjadi “bos” pertama dan juga “bos” terbaik saya. Ia adalah sukar untuk mencari seseorang seperti mereka dan saya sangat gembira dan bersyukur dapat terus terlibat dengan mereka.

3 Body Problem akan mula disiarkan di Netflix pada 21 Mac 2024.

Leave a Reply