Epic Games telah mengeluarkan kenyataan mengatakan yang Apple telah menutup akaun pembangun “Epic Games Sweden AB” yang baru sahaja dibuka. Epic Games mengatakan yang akaun tersebut akan digunakan untuk membawa Epic Games Store dan Fortnite ke iOS di Eropah yang tertakluk kepada Digital Markets Act (DMA).
Perkara ini boleh dikatakan sebagai meneruskan pergaduhan di antara Apple dan Epic Games yang sudah mendapat keputusan daripada mahkamah pada tahun 2021 yang boleh dikatakan Epic Games gagal di dalam saman mereka. Namun, Kesatuan Eropah melalui DMA telah mengarah untuk Apple membenarkan aplikasi dipasang secara sideload, arahan yang ingin digunakan oleh Epic Games untuk membawa Epic Games Store dan Fortnite ke iOS di Eropah.
Oleh itu, Epic Games telah mengatakan yang tindakan terbaru oleh Apple ini telah melanggar DMA. Manakala Apple melalui kenyataan yang dikeluarkan, berdasarkan keputusan mahkamah pada tahun 2021, Apple mempunyai hak untuk menutup mana-mana akaun yang mempunyai kaitan dengan Epic Games, dan berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh Epic Games pada masa lepas dan sekarang, Apple menggunakan hak tersebut.
Menjawab perkara tersebut, Epic Games telah mengatakan yang mereka akan mengikut segala peraturan yang ditetapkan, dan Epic Games juga telah beberapa kali bekerjasama dengan Apple tanpa sebarang masalah, termasuk pelbagai permainan dan aplikasi yang menggunakan Unreal Engine dan sokongan Unreal Engine untuk Apple Vision Pro.