Durioo+ hari ini telah menganjurkan Duriooversary #2 untuk meraikan ulang tahun kedua bagi platform penstriman tersebut. Ketika acara ini, pengasas Durioo+ Sinan Ismail telah mengumumkan yang platform tersebut kini mempunyai 36 ribu pelanggan iaitu peningkatan sebanyak 14 ribu pelanggan berbanding tahun lepas.

Melalui sesi temubual bersama media, beliau juga mengatakan menyasarkan untuk mencapai 100 ribu pelanggan menjelang akhir tahun ini, terutama dengan pelbagai langkah yang akan diambil termasuk ditawarkan di lebih banyak negara seperti Indonesia dan mengambil-alih platform yang bertempat di negara lain seperti Ali Huda.

Selain itu, beliau juga mengatakan yang Durioo+ kini mempunyai 9000 kandungan berbanding 2000 sahaja. Daripada kandungan tersebut 33 kandungan merupakan Durioo+ Originals yang mengandungi lebih 1000 episod dan menerima 101 juta minit tontonan.

Dengan bulan Ramadan akan bermula pada minggu depan, Durioo+ telah mengumumkan pelbagai kandungan khusus akan tiba dan salah satu daripadanya ialah ILM: Kebangkitan Khalifah. Sepanjang bulan Ramadan ini pelanggan juga boleh melanggan Durioo+ dengan harga promosi iaitu RM8.25 sebulan bagi langganan selama setahun.

Durioo+ juga baru-baru ini telah melancarkan aplikasi yang dikemaskini dengan antaramuka serba baharu yang lebih mesra kanak-kanak. Ia juga menyokong pelbagai fungsi tambahan seperti menetapkan profil, sistem kawalan untuk ibu bapa yang ingin mengehadkan jumlah masa anak-anak mereka boleh menggunakan aplikasi ini dan juga menetapkan kandungan mengikut umur.

Menutupi acara ini, mereka juga telah mengumumkan yang Alif Satar iaitu pelakon, penyanyi dan hos TV akan menjadi duta Durioo+ dan beliau akan terlibat dengan pelbagai kandungan di platform ini, termasuk juga menyediakan lakonan suara untuk ILM: Kebangkitan Khalifah.

Durioo+ merupakan platform penstriman kandungan animasi dan aksi nyata yang memfokuskan kanak-kanak dan juga kandungan-kandungan Islam.

Sohor Kini