Ulasan Kung Fu Panda 4

Penantian selama 8 tahun untuk filem Kung Fu Panda yang baharu sedikit mengecewakan, bukan kerana Kung Fu Panda 4 satu filem yang tidak baik, ia adalah satu filem yang menyeronokkan, animasi juga baik, penceritaan menarik akan tetapi sebagai filem keempat, Kung Fu Panda 4 tidak membawa sebarang sebab untuk ia terus dilakukan dan ia tidak juga mengembangkan lagi kisah bagi filem ini selain daripada Po meneruskan perangainya dan juga pengenalan kepada watak baharu antaranya adalah The Chameleon yang dilakonkan suara oleh Viola Davis.

Di dalam filem ini, Po telah diberikan tugasan baharu oleh Shifu iaitu untuk mencari dan melatih pengganti untuk “Dragon Warrior” dengan Po akan beralih menjadi “Spiritual Leader” akan tetapi Po yang telah selesa dengan kedudukannya sering mencari helah untuk tidak menundanya. Oleh itu, apabila dia mendengar mengenai The Chameleon iaitu ahli sihir yang boleh berubah bentuk, termasuk juga menjadi Tai Lung iaitu watak jahat utama di dalam filem yang pertama. Bermulalah pengembaraan Po mencari The Chameleon dan dia ditemani oleh Zhen iaitu satu lagi watak baharu dan merupakan seekor musang licik yang memberitahu Po dia tahu di mana Po boleh menjumpai The Chameleon, Zhen disuarakan oleh Awkwafina.

Premis penceritaan sedikit kurang berkesan kerana selain daripada mempunyai keupayaan boleh berubah bentuk, The Chameleon pada awalnya tidak terasa seperti satu watak yang jahat membuatkan pengembaraan Po untuk mencarinya terasa lemah dan tidak mencukupi untuk menggerakkan filem ini. Selepas mengetahui motif ataupun ‘kejahatan’ yang cuba dilakukan oleh The Chameleon barulah terasa perjuangan Po bermula, namun saya masih merasakan pendedahan ini dilakukan lambat dan sudah menghampiri pengakhiran membuatkan ia tidak menjadi bahagian yang besar di dalam filem ini. Ini mungkin kerana filem ini terbahagi di antara Po dan Zhen dan juga The Chameleon dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengembangkan kesemua mereka dengan baik.

Filem ini sebaliknya dibantu oleh Zhen yang bagi saya satu watak yang menarik dan mempunyai perkembangan watak yang baik. Perhubungannya dengan Po juga boleh dikatakan bahagian terbaik di dalam filem ini yang tanpanya mungkin sedikit mendatar. Saya tidak pasti jika Kung Fu Panda akan menerima filem baharu lagi, akan tetapi jika ada, saya berharap yang watak Zhen terus dikekalkan dan terus menjadi watak yang penting, tidak seperti “Furious Five” yang membuat penampilan secara sampingan sahaja di dalam filem ini.

Perkara lain yang menjadikan filem ini menarik adalah animasi seperti rekaan kawasan yang dikunjungi oleh Po di dalam pengembaraannya, setiap kawasan ini mempunyai kelainan tersendiri. Seterusnya adalah pertempuran yang juga dilakukan dengan baik. Namun, sedikit mengecewakan kebanyakan pertempuran terasa ringkas, mungkin ingin memperlihatkan Po yang sudah berkuasa melebihi orang-orang lain. Pertempuran terakhir juga terasa kurang berkesan sebagai pertempuran terakhir kerana, berbanding menjadi satu pertempuran yang besar, ia lebih menjadi bahagian plot untuk penceritaan filem ini.

Akhir kata, Kung Fu Panda 4 mempunyai masalah kerana penceritaan terlalu mendatar, watak jahat baharu The Chameleon adalah satu watak yang baik akan tetapi kurang digunakan dan motifnya juga terasa sedikit lewat untuk dikembangkan, animasi masih lagi sangat berkualiti tetapi pertempuran terasa terlalu ringkas termasuk juga perlawanan di bahagian akhir. Namun, filem ini masih lagi satu tontonan yang baik dengan Zhen satu watak baharu yang dilakukan dengan baik, dan Po masih lagi Po yang ramai suka.

Kung Fu Panda 4 di pawagam pada 7 Mac 2024.

Kung Fu Panda 4
Kung Fu Panda 4 masih lagi satu filem seperti 3 filem sebelum ini, penceritaan sedikit mendatar tetapi animasi dan beberapa watak baharu yang menarik masih menjadikan filem ini satu tontonan yang baik untuk semua.
Positif
Kualiti Animasi Yang Baik
Watak Zhen dan The Chameleon Menarik
Negatif
Penceritaan Mendatar Dan Tiada Perkembangan
Pertempuran Terasa Terlalu Ringkas
7

Sohor Kini