CEO EA, Andrew Wilson hari ini telah mengumumkan bagi memastikan mereka dapat terus melakukan perkembangan di dalam perniagaan dan pasukan mereka, penyelarasan semula pembangunan perlu dilakukan dan antara kesannya 5% pekerja yang dilaporkan lebih kurang 670 orang akan dibuang. Ini meneruskan berita tidak baik untuk industri permainan video bagi tahun ini dengan 7800 orang telah hilang pekerjaan termasuk juga 900 orang daripada PlayStation.
Di dalam perkongsian selanjutnya oleh Presiden Hiburan dan Teknologi EA, Laura Miele telah mengumumkan yang permainan FPS berdasarkan Star Wars yang sedang dibangunkan oleh Respawn Entertainment telah dibatalkan dan mereka akan memberi fokus kepada permainan seterusnya untuk Star Wars Jedi.
Beliau juga mengumumkan studio Ridgeline Games, yang ditubuhkan pada tahun 2022 untuk membangunkan kempen solo bagi Battlefield akan ditutup dengan sesetengah pembangun akan menyertai Ripple Effect – Ketua Studio, Marcus Lehto sebelum ini telah meninggalkan studio tersebut. Battlefield buat masa ini sedang dibangunkan oleh pasukan pembangun terbesar untuknya yang melibatkan Critereon untuk kempen solo, Ripple Effect dan DICE.
Laura Miele juga mengatakan yang permainan mudah alih terus menjadi platform terbesar untuk permainan video dan EA mempunyai peluang yang besar untuk berkembang di platform ini. Mereka sudah menutup beberapa permainan mudah alih seperti Kim Kardashian Hollywood, Lord of the Rings, Tap Sports Baseball, dan F1 Mobile untuk memberi lebih fokus kepada permainan mudah alih yang lebih berpotensi untuk berkembang.
Pada tahun lepas, EA telah mencatat keuntungan sebanyak $5.85 bilion iaitu peningkatakan sebanyak 4% berbanding tahun sebelum ini.