Pada minggu lepas, Xbox telah mengumumkan yang empat permainan yang diterbitkan oleh mereka secara eksklusif untuk platform Microsoft akan turut dilancarkan untuk PlayStation, namun mereka tidak mengumumkan judul permainan-permainan tersebut.

Hari ini, mereka telah mengumumkan yang empat permainan tersebut ialah Pentiment oleh Obsidian Entertainment yang akan dilancarkan pada 22 Februari untuk PlayStation 4, PlayStation 5 dan Nintendo Switch. Satu lagi permainan Obsidian Entertaiment iaitu Grounded akan dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5 dan Nintendo Switch pada 16 April dengan sokongan rentas platform.

Selain itu, Hi-Fi Rush permainan oleh Tango Gameworks dan Bethesda akan dilancarkan untuk PlayStation 5 pada 19 Mac dan permainan Sea of Thieves oleh Rare akan dilancarkan pada 30 April dan ia juga menyokong fungsi rentas platform membolehkan pemain di PS5 untuk menyertai 35 juta pemain di Xbox dan PC.

Walaupun Xbox akan membawa lebih banyak permainan eksklusif mereka ke platform berlainan, Phil Spencer menegaskan yang mereka masih di dalam perniagaan konsol dan permainan eksklusif akan terus tiba walaupun dengan jumlah yang lebih kecil.

Sohor Kini