Ulasan ini adalah berdasarkan Star Wars: The Bad Batch Musim 3 episod 1 sehingga episod 8.
Sebagai musim terakhir untuk siri animasi ini, Star Wars: The Bad Batch perlu segera menyampaikan penceritaannya, dan ia dilakukan dengan sangat baik. Meneruskan secara terus pengakhiran musim 2, saya boleh katakan permulaan untuk musim 3 adalah terbaik berbanding dua musim yang lepas. Musim 1 terasa mendatar kerana tiada perkara yang “penting” berlaku, musim 2 juga bermula dengan perlahan tetapi lebih baik di episod-episod akhir, dua masalah yang tiada di dalam musim 3 ini.
Di pengakhiran musim 2, Omega telah tertangkap dan di bawa ke Tantiss di mana dia berjumpa semula dengan Nala Se yang dipaksa untuk melakukan uji kaji yang tampaknya berkait dengan Omega sendiri, Crosshair yang ditahan dan sedang diubah untuk kembali menjadi klon yang setia dengan Empire dan Emerie Karr yang mempunyai genetik yang sama dengan Omega dan boleh dikatakan adik-beradik. Tiada jalan untuk keluar, Omega terpaksa membantu Emerie Karr di dalam ujikaji yang diselia oleh Nala Se.
Namun, menyedari yang makin lama Omega berada di Tantiss, makin berbahaya untuk Omega, dia telah menyuruh Omega untuk melarikan diri dan bermula percubaan Omega. Manakala Hunter, Wrecker, dan Echo tidak berputus asa untuk mencari Omega, akan tetapi segala usaha mereka tidak membawa sebarang keputusan yang positif. Oleh kerana musim ini bermula dengan keadaan yang tegang, Omega diculik, misteri mengenai kepentingan Omega kepada Empire, usaha ‘The Bad Batch’ untuk mencari Omega menjadikan ia musim yang bermula dengan fokus.
Fokus ini menjadikan setiap episod menjadi lebih menarik, dan tidak seperti musim-musim yang lepas dengan kebanyakan episod terasa seperti satu misi sampingan sahaja, musim 3, setiap episod adalah lebih dekat kepada sasaran penceritaan ataupun fokus penceritaan yang membuatkan ia menjadi tontonan yang lebih baik. Di episod yang lebih terkemudian, ia serba sedikit kembali menjadi seakan-akan misi sampingan akan tetapi misi sampingan tersebut masih lagi mempunyai kaitan dengan misi utama.
Musim 3 ini juga berjaya untuk memberikan ruang kepada setiap watak untuk berkembang, terutama Omega dan Crosshair. Siri ini bermula, saya boleh katakan ia seakan-akan membawa konsep seperti The Mandalorian dengan Grogu adalah Omega, akan tetapi siri ini memberi ruang yang lebih kepada Omega untuk berkembang dan menjadi watak tersendiri berbanding The Mandalorian sediakan untuk Grogu. Setelah dibina daripada musim 1 lagi, watak Crosshair juga melalui perubahan yang menarik dan membantu untuk menguatkan lagi penceritaan.
Saya masih perlu menantikan 7 episod lagi sebelum musim ini berakhir, oleh itu saya tidak mempunyai sebarang pendapat mengenai pengakhiran untuknya. Namun, melalui pembinaan yang dilakukan untuk 8 episod ini, saya boleh katakan ia agak menarik untuk dinanti-nantikan, namun seperti mana-mana kandungan Star Wars yang berlaku di antara penceritaan asal, pengakhirannya mungkin sudah dijangka ataupun kurang bermakna.
Akhir kata, Star Wars: The Bad Batch Musim 3 bermula dengan baik, bahkan terbaik berbanding dua musim lepas. Ini tidak mengejutkan kerana sebagai musim yang terakhir, ia perlu bermula dengan cepat dan mereka berjaya melakukannya dengan jaya. Penceritaan mempunyai fokus dan sasaran yang jelas, permasalahan mencapai klimaks menjadi setiap episod terasa mengujakan walaupun masih terdapat beberapa episod yang sekadar menjadi pengisian sahaja.
Tiga episod pertama Star Wars: The Bad Batch Musim 3 sudah disiarkan di Disney+ Hotstar dengan episod seterusnya akan tiba setiap minggu yang berikutnya.