Night Swim merupakan filem arahan Byrce McGuire yang juga merupakan filem panjang pertama arahan beliau. Beliau sebelum ini banyak mengarah filem-filem pendek termasuk juga ‘Night Swim’ pada tahun 2014 yang menjadi sumber kepada filem ini. Filem ini diterbitkan oleh Jason Blum dan James Wan iaitu dua nama besar di dalam genre seram oleh disebabkan itu, ia agak mengecewakan filem ini tidak mencapai tahap yang saya jangkakan melihat kepada gandingan nama-nama besar ini.
Filem ini bermula dengan mengimbas kembali ke tahun 1992 dan memperlihatkan keluarga Summer yang terdiri daripada dua kanak-kanak iaitu Rebecca dan Tommy bersama dengan ibu mereka. Pada satu malam, Rebecca ternampak yang bot permainan Tommy berada di dalam kolam renang, cuba mendapat bot tersebut, Rebecca telah terjatuh di dalam kolam dan ditarik oleh satu entiti. Penceritaan kemudian beralih ke waktu terkini mengenai keluarga Waller.
Ray Waller lakonan Wyatt Russel merupakan bekas pemain besbol profesional yang bersara selepa mengalami kecederaan, Eve lakonan Kerry Condon merupakan isteri dan juga emak kepada dua remaja iaitu Izzy lakonan Amelie Hoeferle dan Elliot lakonan Gavin Warren. Mereka mencari rumah baharu untuk menjadi tempat tinggal tetap, selepas sering berpindah randah semasa Ray bermain besbol. Mereka tertarik dengan rumah yang sebelum ini didiami oleh keluarga Summer kerana rumah tersebut mempunyai kolam renang.
Selepas mereka berpindah, dan mula menggunakan kolam tersebut pelbagai kejadian aneh mula berlaku, ia mula disedari oleh Eve, diikuti oleh Elliot dan Izzy akan tetapi mereka semua tidak terlalu memikirkan perkara tersebut kerana Ray kelihatan gembira berada di rumah tersebut dan kesihatannya juga menjadi makin baik. Filem ini kemudian memfokuskan kepada Eve cuba menyiasat mengenai misteri mengenai kolam tersebut dan juga kesannya kepada keluarga mereka.
Premis penceritaan adalah ringkas tetapi menarik kerana memfokuskan kepada kolam tersebut, namun sepanjang filem ini, ia tidak dikembangkan dengan lebih lagi yang membuatkan tidak banyak perkara yang menarik disampaikan. Semasa Eve cuba menyiasat mengenai rumah dan kolam renang tersebut juga ia hanya dilakukan dengan ringkas dan beberapa adegan sahaja. Kejadian aneh juga mula beralih kepada sesuatu yang berlainan dan tidak sekadar kolam tersebut yang bagi saya kurang menarik kerana saya mengharapkan mereka dapat melakukan perkara yang lebih kreatif dengan mengehadkan kepada kolam tersebut sahaja.
Perhubungan di antara keluarga Waller juga disampaikan dengan kurang menjadi, filem ini cuba membawa permasalahan mereka seperti Ray yang masih berharap untuk terus bermain, Eve yang terpaksa menjadi ‘ketua keluarga’ manakala Elliot mempunyai kesukaran bersahabat di sekolah, dan Izzy pula mempunyai teman lelaki akan tetapi masalah-masalah ini menjadi sebahagian kecil sahaja daripada penceritaan, dan menjadi ia sedikit janggal apabila diperlihatkan di dalam sesuatu adegan dan tiada kesinambungan.
Elemen seram di dalam filem ini boleh dikatakan sedikit, ada beberapa jump scare yang tidak diduga manakala bahagian-bahagian lain sesuatu yang jelas dibina. Seperkara yang menarik adalah apabila ia berlaku di dalam kolam dan bagaimana adegan tersebut diperlihatkan semasa berada di dalam air dan di permukaan adalah menarik terutama ia sering mengubah POV. Ia ada juga memperlihatkan beberapa entiti termasuk juga Rebecca yang bagi saya disertakan dengan menarik kerana penglibatan mereka bukan sekadar untuk menjadi sesuatu yang menyeramkan sahaja. Entiti jahat juga disertakan secara fizikal yang bagi saya tidak diperlukan untuk filem ini dan lebih berharap terus kekal sebagai entiti yang tidak mempunyai sifat ataupun bentuk fizikal kerana bagi saya ia menjadi lebih menarik dan lebih tepat dengan premis penceritaan yang memfokuskan kepada kolam renang.
Akhir kata, Night Swim bermula dengan baik dan memperlihatkan satu premis yang menarik akan tetapi ia gagal untuk dikembangkan dengan misteri mengenai kolam tersebut terlalu ringkas, perhubungan di antara keluarga watak utama juga sedikit janggal, elemen seram ada tetapi tidak keterlaluan yang mungkin mengecewakan bagi peminat filem seram, dan pengakhiran juga tidak memuaskan. Namun, ia masih lagi satu tontonan yang baik, cuma tidak akan menjadi satu filem seram yang akan diingatkan ataupun menjadi topik bualan selepas tontonan berakhir.
Di pawagam bermula 22 Februari 2024.