Inflexion Games telah berkongsi treler terbaru untuk Nightingale iaitu permainan ‘survival-crafting’ dunia terbuka yang akan dilancarkan secara akses awal untuk PC melalui Steam dan juga Epic Games Store pada 21 Februari 2024.
Treler ini memfokuskan kepada tatamain yang anda boleh tonton di bawah.
Antara yang diperlihatkan adalah mengenai Crafting, permainan ini membolehkan pemain untuk menghasilkan sesuatu barangan menggunakan material yang berbeza, dan setiapnya akan mempunyai kelebihan tersendiri. Seterusnya, ia juga memperlihatkan sistem pertempuran, pemain boleh menggunakan pelbagai senjata dan boleh menukarnya pada bila-bila masa. Pemain juga boleh menggunakan rune untuk memperkuatkan lagi senjata.
Nightingale mempunyai konsep yang unik untuk ‘dungeon’ iaitu Realm Card. Menggunakan Realm Card pemain boleh menghasilkan realm-realm ataupun dungeon yang berbeza. Terdapat tiga jenis kad iaitu kad yang menentukan ‘biome’, ‘major’ dan ‘minor’. Biome menentukan persekitaran, major menentukan kehidupan di kawasan tersebut manakala minor adalah perkara tambahan yang boleh disertakan di kawasan tersebut termasuk juga merendahkan graviti. Realm yang berbeza juga akan memberi peluang kepada pemain untuk melawan raksasa unik atuapun bertemu dengan NPC tertentu.
Permainan ini boleh dimainkan secara solo, pemain boleh membawa seorang pembantu AI, ataupun bermain bersama rakan sehingga 6 pemain.