Skip to main content

Xbox hari ini telah hadir dengan podsiar khas untuk berkongsi lanjut mengenai strategi perniagaan mereka, selepas pelbagai ura-ura mengatakan yang Microsoft ingin beralih daripada perniagaan konsol.

Podsiar yang melibatkan tiga orang besar di dalam Xbox iaitu Phil Spencer, Sarah Bond, dan Matt Booty, mereka secara ringkasnya mengatakan tiada perubahan di dalam strategi perniagaan.

Permainan eksklusif untuk platform Microsoft (Xbox dan PC) akan terus ada, tetapi mengatakan empat permainan akan ditawarkan di platform tambahan. Mereka tidak mengumumkan permainan tersebut tetapi menurut The Verge, ia adalah Hi-Fi Rush, Pentiment, Sea of Thieves dan Grounded.

Mereka mengatakan yang pemilihan untuk permainan ditawarkan di platform lain adalah bagi memberikan dana untuk sesetengah studio agar mereka dapat menggunakannya untuk membangunkan permainan lain ataupun meneruskan kelangsungan projek mereka.

Bercakap mengenai permainan mercu seperti Starfield dan Indiana Jones, Phil Spencer mengatakan yang buat masa ini masih tiada perancangan untuk ia dikeluarkan di platform lain tetapi pada masa yang sama ia bukan perkara yang mustahil.

Bagi penawaran Xbox Game Pass dan PC Game Pass, yang diumumkan kini mempunyai 34 juta pelanggan, ia akan terus hanya ditawarkan di platform mereka sahaja iaitu Xbox dan juga PC dan permainan-permainan first party juga akan terus ditawarkan pada hari pelancaran di dalam perkhidmatan ini.

Xbox juga telah mengumumkan yang permainan pertama Activision Blizzard yang ditawarkan melalui Game Pass ialah Diablo IV yang akan tiba di perkhidmatan tersebut pada 28 Mac 2024, dan juga mengatakan lebih banyak permainan daripada studio yang baru diambil-alih tersebut memasuki Game Pass di masa hadapan.

Bagi konsol pula, Xbox akan terus menghasilkan konsol dan konsol generasi depan akan mempunyai lonjatan teknologi yang besar tetapi turut mengatakan yang Xbox akan terus hadir dengan ekosistem konsol terbaik dengan sokongan rentas kemajuan, keserasian belakang dan penstriman.

Bergantung kepada bahagian mana anda berada, pengumuman ini mungkin satu berita yang baik ataupun tidak, tetapi dengan jelas Xbox akan terus beroperasi sebagai pengeluar konsol dan juga penerbit permainan video.

Leave a Reply