Sony telah mengumumkan yang PlayStation 5 model baharu yang juga dikenali sebagai PS5 Slim sudah boleh mula di pra-tempah dengan di Malaysia dengan penghantaran akan bermula pada 20 Februari 2024 selepas dilancarkan di pasaran terpilih pada akhir tahun lepas.
![](https://aksiz.com/wp-content/uploads/2024/02/IMG_5133-1024x768.jpeg)
PS5 Slim ini ditawarkan dengan harga RM2499 untuk edisi PlayStation 5 Ultra HD Blu-ray, sementara PS5 Digital Edition pula berharga RM2069. Penambahan lain bagi PS5 Slim ini adalah Digital Edition juga boleh ditambah pemacu kemudian yang ditawarkan secara berasingan pada harga RM529. Ia juga ditawarkan dengan berkas 2 alat kawalan iaitu RM2,799 untuk edisi biasa dan RM2,369 untuk Digital Edition.
Seperti diumumkan sebelum ini, PS5 Slim dikatakan mempunyai isi padu 30% lebih rendah dan berat dikurangkan sebanyak 18% dan 24% berbanding model yang sebelum ini. Cover kini mempunyai 4 bahagian yang boleh dibuka.
Model baharu ini juga tidak lagi menyertakan pendiri seperti sebelum ini, sebaliknya ia menyertakan dua pendiri untuk meletakkan konsol secara melintang, manakala jika ingin meletakkannya secara menegak, “Vertical Stand” ditawarkan secara berasingan dengan harga RM149. Perbezaan seterusnya adalah secara lalai, PS5 Slim ditawarkan dengan storan 1TB berbanding 825GB sebelum ini.
PS5 Slim ini juga akan menerima pilihan Cover dengan warna Sterling Silver, Volcanic Red, Cobalt Blue dan Midnight Black. Ia ditawarkan dengan harga RM259. Selain menyertakan bahagian cover untuk PS5 dengan pemacu, di dalam kotak turut disertakan Cover bagi Digital Edition.