Februari baru sahaja bermula, sudah terdapat pelbagai permainan menarik yang dilancarkan dan secara jujurnya, kami sendiri tidak cukup tangan untuk bermain kesemua permainan ini, terutama ini meneruskan lagi pelancaran permainan pada bulan lepas yang anda boleh lihat sebahagiannya melalui artikel – 5 Permainan Menarik Bulan Januari 2024.
Bagi minggu pertama ataupun minggu pertama dan kedua kerana Februari bermula pada lewat minggu lepas lagi, berikut adalah antara permainan menarik:
Granblue Fantasy: Relink
Granblue Fantasy: Relink merupakan percubaan seterusnya untuk Cygames memperkembangkan lagi penawaran jenama Granblue Fantasy. Relink merupakan permainan aksi RPG yang boleh dimainkan secara solo ataupun secara koperasi sehingga 4 pemain. Permainan ini sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, dan PC.
Jujutsu Kaisen Cursed Clash
Jujutsu Kaisen Cursed Clash merupakan permainan pertempuran yang dibangunkan oleh Byking dan Gemdrops dan diterbitkan oleh Bandai Namco. Permainan ini menyertakan 15 watak daripada siri Jujutsu Kaisen seperti Satoru Gojo, Suguru Geto, Yuji Itadori dan Yuta Okkotsu. Ia sudah dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Nintendo Switch dan PC.
Persona 3 Reload
Dengan Persona 5 mempertingkatkan populariti siri permainan Persona, tidak mengejutkan, Atlus ingin memberi nafas segar kepada permainan terdahulu mereka, Persona 3 Reload ialah versi olahan semula bagi Persona 3 yang dikeluarkan pada tahun 2006. Ia mengekalkan penceritaan tetapi membawa tatamain agar hampir sama dengan Persona 5. Persona 3 Reload sudah dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC. Ia juga ditawarkan di Xbox Game Pass.
Suicide Squad: Kill the Justice League
Selepas 9 tahun siri Batman: Arkham tidak menerima permainan baharu selepas Batman: Arkham Knight dilancarkan pada tahun 2015, Rocksteady Studios dan Warner Bros. Games telah melancarkan permainan baharu tetapi dengan memfokuskan kepada Suicide Squad iaitu Boomerang, Deadshot, Harley Quinn dan King Shark. Mereka perlu melawan Justice League yang telah dipengaruhi oleh Brainiac. Permainan ini boleh dimainkan secara solo ataupun secara koperas. Ia sudah dilancarkan untuk PlayStation 5, Xbox Series dan PC.
Foamstars
Melalui permainan ini, Square Enix ttelah membawa Splatoon ke konsol yang bukan Nintendo, ia merupakan permainan multipemain 4 lawan 4 shooter dengan pemain akan menggunakan buih untuk bertempur dengan pemain lain. Ia menyertakan pelbagai mode untuk PvP dan juga sesi permainan secara solo. Foamstars akan dikeluarkan pada 6 Februari 2024 untuk PlayStation 4 dan PlayStation 5. Ia juga disertakan secara percuma untuk pelanggan PS Plus.
Helldivers 2
Arrowhead Game Studios membawa satu perubahan utama untuk permainan kedua Helldivers ini, dengan menjadikannya sebagai permainan third-person berbanding top-down, tetapi masih mengekalkan kebanyakan perkara lain seperti penggunaan Strategems, dan ‘Friendly-fire’ juga akan sentiasa dibuka dengan ia menyokong sesi multi-pemain sehingga 4 pemain. Permainan ini akan dilancarkan pada 8 Februari 2024 untuk PlayStation 5 dan PC.