Desas-desus yang mengatakan lebih banyak permainan oleh Microsoft ataupun Xbox Game Studios akan dikeluarkan untuk platform lain terutamanya PlayStation 5 mula makin kuat kedengaran, bab kata pepatah “Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang”. Melalui laporan terbaru oleh Xbox Era yang mengatakan Microsoft ingin mengeluarkan Starfield bersama dengan penambahan terbaru iaitu “Shattered Space” ke PlayStation 5, selain itu The Verge juga melaporkan yang Indiana Jones and the Great Circle yang akan tiba tahun ini, juga akan dilancarkan untuk konsol oleh Sony selain daripada Xbox Series dan PC.

Perkara Baik Jangka Pendek

Permainan dikeluarkan di lebih banyak platform adalah perkara yang baik, kerana lebih ramai pemain boleh main, terutama bagi pemain yang memiliki satu konsol sahaja, manakala bagi pengguna di Malaysia, Xbox tidak pernah dilancarkan secara rasmi, oleh itu, memang tiada pilihan lain untuk bermain permainan seperti Starfield selain daripada mendapatkan PC. Oleh itu, pemilik PlayStation 5, jika ura-ura ini benar, bakal mendapat permainan seperti Starfield, Sea of Thieves, dan Hi-Fi Rush dengan kata lain lebih banyak permainan untuk dimainkan. Persoalan seterusnya, sudah semestinya adakah Microsoft akan menawarkan Game Pass di platform PS5? Jika benar, ini satu lagi perkara yang baik kerana mereka kini dapat mengakses perpustakaan permainan dengan bayaran bulanan sahaja.

Tidak Baik Jangka Panjang

‘Gajah di dalam bilik’ sudah semestinya dengan lebih banyak permainan akan dilancarkan untuk lebih banyak platform adakah masih berbaloi untuk Microsoft terus melakukan pelaburan dengan mengeluarkan konsol? Kita juga harus kembali kepada apa itu Microsoft sendiri, Microsoft lebih kepada syarikat perisian berbanding syarikat perkakasan. Oleh itu, tidak terlalu aneh jika kita ingin memikirkan yang Microsoft mungkin ingin menjadi penerbit permainan video sahaja dan bukan lagi pengeluar konsol. Jualan konsol Xbox Series pada waktu sekarang juga tersangat rendah jika ingin dibandingkan dengan PlayStation 5 dan juga konsol yang sudah lama seperti Nintendo Switch, dengan mereka tiada lagi insentif permainan eksklusif, agak mustahil untuk melihat konsol Xbox akan terjual lebih banyak.

Jika ini berlaku, ia bermakna yang Sony dan PlayStation akan mendominasi pasaran konsol dengan tiada pesaing lain, manakala Nintendo mereka mempunyai dunia sendiri dan tidak sangat bersaing dengan sesiapa. Tanpa pesaing, kita akan memberikan terlalu banyak kuasa kepada PlayStation untuk menentukan arah tuju bagi dunia permainan konsol. Ini dengan kata lain, PlayStation akan menentukan harga, perkhidmatan ataupun jenis permainan yang mendapat sambutan di platform mereka. Jika tiada pesaing, adakah PlayStation harus terus membuat keuntungan yang kecil daripada jualan konsol? Jika PlayStation 5 ataupun konsol PlayStation generasi akan datang tidak lagi perlu bersaing, atas kertas, Sony boleh meletakkan harga yang lebih tinggi untuk konsol kerana di pasaran pemain hanya boleh dapatkan satu konsol sahaja sebagai pilihan.

Perkara yang tidak baik seterusnya, adalah bagi pemain-pemain yang sudah lama melakukan pelaburan di dalam ekosistem Xbox. Jika kebanyakan perpustakaan permainan mereka di dalam Xbox, apalah nasib permainan-permainan tersebut jika Microsoft akhirnya gulung tikar perniagaan konsol? Adakah mereka perlu bermula semula di platform lain? Adakah Microsoft membolehkan mereka untuk membawa permainan-permainan tersebut ke platform lain? Apa pun penyelesaiannya, ia bukanlah sesuatu yang akan disukai oleh pemain yang setia dengan Xbox dan akan menjadi sesuatu yang sangat mengecewakan.

Hilang Kabus, Teduh Hujan

Jika kita ingin berharap sesuatu yang baik daripada perkara ini, adalah dengan PlayStation mendominasi pasaran konsol (mereka boleh dikatakan sudah), lebih banyak penelitian perlu dilakukan oleh pihak berwajib, seperti Kesatuan Eropah dan juga FTC di Amerika Syarikat untuk memastikan yang Sony tidak menjadi terlalu ‘berkuasa’ di dalam menentukan arah tuju konsol. Jika tiada lagi konsol Xbox, mungkin kita dapat membeli permainan di gedung Xbox Store di dalam PlayStation 5? Ini bukan perkara yang ganjil, kerana perkara yang sama sudah dilakukan di telefon pintar seperti iPhone.

Di dalam PS5 sendiri, aplikasi seperti Apple TV, saya dapat melakukan pembelian ataupun sewaan filem secara terus menggunakan pembayaran Apple dan tidak perlu melalui PS Store, oleh itu ia bukanlah perkara yang mustahil untuk dilakukan. Jika Microsoft tidak lagi mengeluarkan konsol, berkemungkinan besar Microsoft akan menjadi yang utama mendesak PlayStation untuk membuka konsol PS5 agar lebih banyak gedung permainan video boleh dibuka di dalamnya, Microsoft mungkin ingin membuka gedung tersebut dan menawarkan bersama Game Pass mereka, Epic Games sudah semestinya akan bersetuju dengan perkara ini.

Komunikasi Itu Penting

Perbincangan yang saya lakukan di dalam artikel ini, tidak lebih daripada sekadar akademik sahaja, ini adalah kerana masih tiada pengumuman rasmi oleh Microsoft mengenai perubahan strategi. Jika ada, mereka seharusnya segara berkongsi mengenai perancangan tersebut dan apakah masa depan untuk konsol Xbox. Jika perkara ini tidak benar, mereka juga harus dengan cepat menafikannya kerana buat masa sekarang, lebih ramai pemain yang akan khuatir untuk melakukan pelaburan ataupun menyertai ‘keluarga Xbox’ jika mereka dapat lebih banyak penawaran di PlayStation 5. Dengan kata lain, orang-orang besar Microsoft, Phil Spencer terutamanya perlu dengan segera menjelaskan perancangan mereka agar ia tidak bergantung kepada ura-ura sahaja.

Sohor Kini