Ballistic Moon ketika acara State of Play telah mengumumkan yang mereka sedang membangunkan Until Dawn versi penambah-baikkan khusus untuk PlayStation 5 dan juga PC. Mereka juga mengumumkan yang ia akan tiba pada tahun ini.
Until Dawn merupakan permainan seram yang dibangungkan oleh Supermassive Games, permainan ini memfokuskan kepada pilihan pemain yang akan menentukan nasib watak-watak di dalamnya. Ia pertama kali dilancarkan untuk PS4 pada tahun 2015.
Menurut Ballistic Moon versi ini akan dibangunkan semula menggunakan Unreal Engine 5 menggunakan teknologi-teknologi terkini untuk mempertingkatkan kualiti watak, persekitaran dan juga VFX bagi memberikan pengalaman cinematic seram yang lebih mendalam.
Mereka juga akan melakukan penambahan untuk muzik runut di dalam permainan ini melibatkan komposer terkenal Mark Korven. Selain itu, walaupun permainan ini kebanyakannya mengekalkan daripada permainan asal, tetapi mereka juga akan mengembangkan lagi bahagian emosi di dalam penceritaan yang sebelum ini tidak diperlihatkan.
Seperti diumumkan sebelum ini, Until Dawn juga akan menerima filem aksi nyata yang akan dibangunkan oleh PlayStation Productions dan Screen Gems. Filem ini akan diarahkan oleh David F. Sandberg dan lakon layar ditulis oleh Gary Dauberman.